FELDA United mencipta kejutan menyingkirkan juara Piala AFC dan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), sekaligus mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2015 menerusi agregat, 3-2, sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, The Fighters gah mengakhiri rekod kebal JDT di laman sendiri sejak 2013 melalui kemenangan, 2-1.

Perancang tengah Fighters, Zah Rahan muncul wira selepas meledakkan gol kedua pada minit ke-78, sekaligus memastikan langkah finalis Piala Malaysia musim lalu itu tersekat di hadapan penyokong sendiri.

Selain Felda, juara bertahan, Pahang menepati ramalan ke pusingan separuh akhir walaupun tewas, 2-0, ke atas Lions XII di Stadium Jalan Besar.

Pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan itu mara menerusi agregat, 4-3.

Sementara itu, juara Liga Perdana, Kedah mengisi slot ke separuh akhir selepas menundukkan PKNS di Stadium Selayang, melalui agregat, 4-2.

Selangor pula mengisi slot terakhir selepas menunjukkan jalan keluar kepada Serawak melalui agregat, 3-2, dalam aksi di Stadium Shah Alam.

Pusingan separuh akhir nanti menyaksikan Pahang bertemu Selangor manakala Kedah akan menentang Felda.