GABUNGAN Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengumumkan lantikan baharu ahli jawatankuasa eksekutif badan induk bola sepak Selangor bagi sesi 2018-2022.

Tiga nama lama kekal menerajui FAS termasuk Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah sebagai presiden selain dua naib presiden iaitu Omar Ali dan Datuk Ariffin Ab Majid.

Menurut Omar, dua lagi jawatan naib presiden dipegang muka baharu iaitu Hamdan Hashim dan Roslin Shariff.

“Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Muhammad Nasir Hamzah pula dilantik sebagai timbalan presiden yang baru.

“Selain itu, untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif seramai 13 nama dipilih dan kesemua mereka menang tanpa bertanding,” katanya ketika Kongres Luar Biasa (EGM) FAS, tadi.

Terdahulu, FAS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa hasil pertemuan persatuan dipengerusikan Pesuruhjaya Sukan dihadiri wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam memutuskan tindakan mengadakan kongres luar biasa tidak memenuhi syarat ditetapkan dalam Artikel 30.1 (b) Statut FAS 2010.

Tambah kenyataan itu, kongres berkenaan juga tidak sah kerana tidak diakui FAS selaras memo dikeluarkan persatuan pada 26 Oktober lalu respons kepada notis Roslin Shariff pada 22 Oktober lalu.

Bagaimanapun, seorang pemantau juga peguam mengatakan EGM yang berlangsung itu mendapat persetujuan 52 ahli gabungan dan dikatakan menepati artikel 34.1 Statut Perlembagaan FAS.

“Artikel itu menyebut EGM berkenaan memerlukan 50 peratus (tambah 1) sokongan daripada ahli gabungan untuk mengesahkan korum EGM tersebut.

“Dengan 52 sokongan daripada 96 ahli gabungan yang berdaftar di bawah FAS, ia jelas sudah cukup untuk mengesahkan kongres luar biasa ini,” katanya yang turut hadir ke EGM berkenaan.