PAROI - Kemunculan Fabio Leandro Barbosa bagaikan membawa sinar baru kepada pasukan Negeri Sembilan dalam menghadapi pusingan kedua Liga Super musim ini apabila melayan kunjungan LionsXII di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.

Buktinya, seawal minit ke-14, bekas pemain Samut Songkhram FC berpangkalan di Thailand ini sudah melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan, namun sepakan derasnya sekadar menggegar palang.

Tidak berputus asa, Fabio Leandro Barbosa menggandakan asakan dan rembatannya dari jarak 22 meter pada minit ke-15 berjaya menerjah gawang selepas gagal diselamatkan penjaga gol, Izwan Mahbud.

Tersentak dengan jaringan pembukaan tuan rumah, Sang Singa membalas asakan bertubi-tubi dan hasilnya, Fazrul Nawaz yang berpusing di depan gol selepas menerima hantaran cantik Hafiz Abu Sujad minit ke-20 berjaya menyamakan kedudukan.

Skuad Jang hampir berada di depan minit ke-23, bagaimanapun tendangan Mohd Nazrin Mohd Nawi dari luar kotak penalti cemerlang diselamatkan Izwan Mahbud yang melayangkan badan untuk menolak bola keluar.

Minit ke-31, Izwan Mahbud sekali lagi menjadi penyelamat Sang Singa apabila mendakap kemas sepakan percuma Fabio Leandro Barbosa yang tepat menuju ke arah gol.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan walau bagaimanapun mengalami kesukaran untuk menembusi kubu lawan berikutan keampuhan barisan pertahanan terutamanya William Paul Modibo dan Safuwan Baharudin yang berjaya mematahkan setiap serangan.

Cubaan LionsXII untuk memburu gol kedua tampak hampir berhasil, cuma nasib kurang menyebelahi mereka apabila sepakan Shahril Ishak dari sudut sukar sempat dihalang Shahurain Abu Samah sebelum terkena tiang.

Irwan Shah pula mensia-siakan peluang terhidang minit ke-64 lantaran terburu-buru melepaskan rembatan yang mudah ditepis keluar penjaga gol muda Skuad Jang, Mohd Kaharuddin Abdul Rahman.

Dalam kesibukan mencari gol kemenangan, Skuad Rusa ditimpa malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Abd Ghani Abd Rahman dilayangkan kad merah serta-merta pada minit ke-72 kerana mengasari lawan.

Bagaimanapun, situasi ini gagal dimanfaatkan Sang Singa, sebaliknya Fabio Leandro Barbosa pula hampir mencipta gol kedua tuan rumah minit ke-82 tetapi sepakan percuma dilakukan sedikit tersasar ke sebelah kiri gawang gol.

Secara keseluruhan, perlawanan berlangsung seimbang walaupun dicemari beberapa adegan kekasaran sehingga memaksa pengadil melayangkan lima kad kuning dan satu kad merah kepada pemain.

Keputusan muktamad, seri satu sama di mana kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati berkongsi satu mata.