ATLET jalan kaki wanita Elena Goh Ling Yin menamatkan kemarau 18 tahun kilauan emas acara 10,000m jalan kaki wanita dalam Sukan SEA, selepas membuat kejutan di halaman sendiri hari ini.

Elena, 21 mencatatkan masa 52.21.50s, bagi meraih pingat emas menewaskan pemenang pingat perak Thi Bich Ha dari Vietnam yang mencatatkan masa 52.27.78s dan pingat gangsa, T Assawawongcharoen dari Thailand yang mencatatkan masa 53.17.10s.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas adalah melalui atlet veteran Yuan Yu Fang pada 1999, yang turut mencipta rekod baharu dengan catatan 42.22.05s dan masih belum dipecahkan sehingga hari ini.

Yu Fang yang turut membuat penampilan semula pada edisi kali ini bagaimanapun terpaksa menhentikan saingan seawal minit keempat selepas mengalami kecederaan.

Elina, 21, ketika ditemui pemberita selepas saingan berkenaan, berkata beliau tidak menyangka akan memenangi emas kerana terpaksa berhadapan dengan pesaing sama yang ditemuinya pada edisi lepas.

Katanya, pingat yang dimenanginya didedikasikan kepada keluarganya yang sentiasa memberi sokongan tanpa henti.

"Terima kasih kepada keluarga saya yang tak berhenti-henti menyokong, sanggup datang dari Melaka, ada yang mengambil cuti semata-mata untuk datang," katanya.

Kemenangan kali ini juga mengubati kekecewaan penuntut Universiti Malaya dalam bidang  Pengurusan  Sukan itu yang gagal memiliki sebarang pingat pada penampilan sulungnya pada Sukan SEA edisi lepas.

Pada penampilan pertamanya di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu dalam acara 20km jalan kaki, Elina terpaksa berpuas hati apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keempat ekoran kecederaan lutut kanan dan kiri.

Beliau yang sepatutnya menyertai temasya dwitahunan itu di Nay Pyi Taw, Myanmar pada 2013  juga terpaksa melupakannya pada ketika itu kerana perlu memberi tumpuan terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Rekod terbaik beliau adalah 51 minit 42.42s yang dicatatkan pada April lepas di Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEKECEWAAN gagal menyarung jersi skuad negara di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu masih lagi membayangi pemain sepak takraw kebangsaan Ahmad Fadzil Mustafa.
  • SKUAD boling padang negara meneruskan rentak kecemerlangan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Asia ke-12, semalam.
  • ATLET olahraga Paralimpik negara, Faridul Masri membuktikan saiz fizikal yang kecil bukan penghalangnya untuk menghadiahkan pingat emas dalam acara melontar peluru F56 (kecacatan anggota kaki) di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
  • MOHAMAD Ridzuan Mohamad Puzi menterjemahkan semangat luar biasa apabila melawan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk mengutip emas dalam acara 200 meter T36 (cerebral palsy), Sukan Para Asean Ke-9 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
  • JAGUH Paralimpik negara, Abdul Latif Romly tidak berpuas hati sekali pun menepati ramalan meraih pingat emas lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) Sukan Para Asean Ke-9 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.