KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak memandang rendah keupayaan Kemboja pada pertemuan aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Olimpik Nasional di Phnom Penh, esok.

Beliau berkata pemain Kemboja sudah pasti akan bersemangat tinggi untuk menghadiahkan kemenangan kepada jurulatih baharunya, Keisuke Honda iaitu bintang Jepun yang baru enam hari melatih skuad Anchor Warriors itu.

"Kami telah bermain dengan Kemboja beberapa kali sebelum ini dan setiap kali ia bukan mudah. Lebih-lebih kali ini dengan kehadiran Honda yang kita semua tahu adalah pemain yang digeruni semasa mewakili skuad  kebangsaan Jepun.

“Kami hanya rehat selama dua hari selepas pertemuan dengan Taiwan dan adalah penting untuk mencatur pemain bagi memastikan pemain cukup bersedia untuk perlawanan esok,”katanya pada sidang media pra-perlawanan di Phnom Penh hari ini.

Rakaman audio sidang media itu diperoleh oleh Bernama menerusi pegawai media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, kapten skuad Harimau Malaya, Muhammad Nazmi Faiz Mansor turut mengakui Kemboja adalah pasukan yang berbeza di bawah bimbingan Honda.

“Sudah tentu kami sangat teruja melihat Honda melatih skuad Kemboja dengan menyuntik semangat baharu. Walaupun satu pertemuan yang mencabar tetapi kami mahu bangkit untuk mencapai kemenangan selepas kalah 2-0 dengan Taiwan, Jumaat lalu,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia bertemu Kemboja adalah dalam kempen Piala AFF 2016 di Yangon dengan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menang 3-2.

Selepas perlawanan dengan Kemboja, skuad negara akan meneruskan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober ini sebelum berdepan dengan Republik Kyrgyzstan dan Maldives, masing-masing pada 16 Oktober dan 3 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

Siri perlawanan persahabatan  antarabangsa itu adalah sebagai daripada persediaan skuad negara bagi menghadapi Piala AFF yang bermula awal November ini. – Bernama