• Kevider Singh a/l Makbul Singh (kanan) menerima ciuman daripada ibunya, Ranjit Kaur, selepas majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya. - Foto Bernama Kevider Singh a/l Makbul Singh (kanan) menerima ciuman daripada ibunya, Ranjit Kaur, selepas majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya. - Foto Bernama
1 /

KUALA LUMPUR - Bekas pemain hoki negara Kevinder Singh mendedikasikan ijazah sarjana muda Sains Sukan (Pengurusan Sukan) yang diterima daripada Universiti Malaya (UM) kepada mendiang ayahnya, Makbul Singh.
   
Beliau berkata ayahnya telah memberi banyak dorongan ketika beliau mula menjinakkan diri dalam sukan hoki ketika usia mudanya sehingga berjaya menyarung jersi kebangsaan.
   
"Tidak lupa juga dorongan, sokongan dan pengorbanan ayah sehingga saya berjaya menjadi pemain hoki negara sekarang," kata Kevinder, yang kehilangan ayahnya ketika berusia 13 tahun.
   
Ayahnya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada tahun 1999.
   
"Saya berterima kasih kepada kelurga serta pensyarah yang banyak membantu selama ini dalam merancang masa sebagai seorang pelajar dan atlet," katanya kepada pemberita selepas menerima ijazah itu daripada Pro Canselor UM, Tan Sri Siti Norma Yaakob, di sini, hari ini.

Kevinder, 26 yang ditemani ibunya, Narenjit Kaur, 56, nyata gembira selepas berpenat lelah selama enam tahun untuk menamatkan pengajiannya walaupun terpaksa meninggalkan kelas demi membantu skuad negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa.
   
"Saya memulakan pengajian pada 2006 dan sepatutnya menamatkan pengajian pada 2010 namun disebabkan komitmen dengan latihan hoki dengan pasukan kebangsaan, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian awal tahun ini," katanya.
   
Kevinder turut menyimpan hasrat untuk kembali semula menyarung jersi pasukan kebangsaan setelah hampir dua tahun tersisih akibat kecederaan lutut kiri ketika menyertai Kejohanan Trofi Cabaran Juara-Juara II di Dublin, Ireland, pada 2010.
   
Seramai 584 graduan menerima ijazah masing-masing pada hari terakhir Konvokesyen UM 2012 yang bermula sejak Isnin lepas di Dewan Tunku Canselor UM di sini. - Bernama