PENGENDALI Barcelona, Ernesto Valverde tetap melahirkan rasa gembira dengan usaha skuad bimbingannya yang berjaya mencuri satu gol di tempat lawan selepas seri 1-1 dengan Chelsea perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Jaringan Willian hampir memberikan kelebihan buat Chelsea pada minit ke-62 dalam aksi timbal balik pada 14 Mac nanti.

Tetapi kesilapan Andreas Christensen memberikan peluang buat pelawat, Andres Iniesta berjaya mengumpan Lionel Messi untuk menyumbat masuk gol pertamanya berdepan The Blues.

Valverde menyifatkan jaringan Messi merupakan saat yang penting dalam perlawanan ini, bagaimanapun menegaskan ia bukan bermakan Barca mampu melayakkan diri ke suku akhir.

“Jaringan penyamaan itu sangat penting. Mereka mungkin gembira dengan keputusan ini dan kami perlu menghormati gaya permainan mereka.

“Mereka kurang melakukan hantaran berbanding kami, tetapi mereka melakukan tekanan dan ia menyukarkan kami.

“Perlawanan ini menyaksikan pertembungan dua gaya permainan yang berbeza. Tetapi kami telah cuba melakukan yang terbaik dan kami akan cuba mengulanginya dalam aksi timbal balik," katanya.