PEMAIN serba boleh, Muhamad Ashaari Shamsuddin kekal bersama pasukan bola sepak Terengganu untuk musim depan.

Pengurus pasukan Marzuki Sulong berkata, turut dikekalkan dalam pasukan itu ialah pemain import Vencet Vikana.

"Terengganu masih memerlukan khidmat dan tenaga Ashaari untuk memantapkan pasukan manakala Vikana pula telah memberikan sumbangan besar kepada pasukan Terengganu sepanjang Liga Malaysia musim ini," katanya.

Marzuki berkata, selain itu, pihaknya telah selesai membuat penilaian prestasi pemain-pemain skuad Terengganu dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat apabila jawatankuasa eksekutif Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) bermesyuarat minggu depan.

"Mesyuarat itu akan dipengerusikan Yang Dipertua PBSNT yanga baharu Datuk Wan Mohd Nizam Wan Hamid," katanya kepada Bernama hari ini.

Ditanya mengenai laporan akhbar kononnya Terengganu melamar ketua pasukan Kelantan Mohd Badhri Radzi untuk musim depan, beliau berkata: "Biarlah kita senyapkan dulu perkara itu". - Bernama