PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengumumkan bekas Ketua Jurulatih Tok Gajah, Ahmad Shaharuddin Rosdi dilantik menjadi penolong jurulatih buat skuad itu berkuatkuasa esok.

Bekas pemain kebangsaan itu dilantik sebagai penolong kepada Ketua Jurulatih terbaru, Mohamed Razip Ismail yang menandatangani kontrak menggalas tugas penting itu pada 17 Mac lalu.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh persatuan itu sebentar tadi, PBNP telah membuat pertimbangan tersebut dan melantik Ahmad Shaharuddin selepas Mohamed Razip mengemukakan permintaannya.

Bekas pengendali Harimau Muda itu telah meminta 2 orang penolong jurulatih bagi membantu beliau membimbing skuad tersebut dan mengemukakan cadangan dua bekas jurulatih tersebut iaitu Ahmad Shaharudin dan Azaruddin untuk mengisi jawatan itu.

Pelantikan Ahmad Shaharuddin berdasarkan pengalamannya yang telah menjadi penolong jurulatih Pahang sejak musim 2010 hingga musim lalu.

Pelantikan beliau diharap dapat membantu persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran seterusnya.

Sementara itu, Ahmad Shaharuddin ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu akan menggunakan kepercayaan yang diberikan oleh persatuan sebaik mungkin.

Menurutnya, tugas tersebut tidak asing buat dirinya yang pernah menggalas tugas itu selaku penolong buat beberapa musim bersama Pahang.

“Saya tak rasa banyak beza dan pengalaman sebelum ini bersama Pahang akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu Ketua Jurulatih (Mohamed Razip).

“Kalau ini untuk kebaikan pasukan, saya tiada masalah untuk berganding bersama beliau (Mohamed Razip) dan akan membantu sebaik mungkin untuk mengharungi saingan selepas ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, nasib Azaruddin masih belum diketahui walaupun nama bekas pengendali skuad Piala Presiden Pahang itu turut berada dalam senarai cadangan oleh Mohamed Razip.