• Ahmad Fakri Saarani Ahmad Fakri Saarani dijangka akan berhijrah ke Athlitico Sporting Club Divisyen 3, Portugal pada sidang media hari ini - Foto Bernama
1 /

PETALING JAYA - Penyerang pasukan Felda United, Ahmad Fakri Saarani mengesahkan bahawa beliau bakal menandatangani kontrak selama setahun untuk beraksi bersama kelab divisyen tiga Portugal, Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico S.C) bermula awal musim depan.
   
Bekas pemain Harimau Muda A itu berkata beliau telah mendapat tawaran untuk bermain untuk kelab yang berpangkalan di bandar Evora, Portugal itu pada Ogos lepas namun terpaksa menangguhkan hasratnya kerana terikat dengan kempen Piala Malaysia ketika itu.
   
"Saya turut dipanggil oleh (ketua jurulatih bola sepak kebangsaan) Datuk K. Rajagobal untuk membarisi skuad negara pada Piala AFF Suzuki penghujung bulan ini, jadi saya terpaksa melupakan seketika hasrat untuk pergi lebih awal ke Portugal," katanya pada satu sidang media khas bagi mengumumkan perkara itu, di sini, hari ini.
   
Media sebelum ini melaporkan bahawa pemain kelahiran Kelantan yang berusia 23 tahun ini telah mendapat tawaran untuk bermain bersama salah sebuah kelab divisyen tiga di Portugal.
   
Sebagai rekod, Ahmad Fakri merupakan pemain kedua negara yang beraksi di Portugal selepas bekas pemain Harimau Muda A iaitu Muhamad Nazmi Faiz Mansor yang kini bermain bersama kelab remaja Beira Mar di negara yang sama.

Ditanya mengenai peluang mengisi kesebelasan utama pasukan Atletico S.C., Ahmad Fakri, yang boleh mampu bermain di posisi serangan dan sayap kanan, berharap beliau mampu mempamerkan persembahan terbaik bagi memikat jurulatih kelab Portugal itu, Paulo Simao.
   
"Saya juga berharap mampu mempromosikan nama Malaysia di pentas bola sepak antarabangsa," katanya yang baru tiba di tanahair selepas membantu skuad kebangsaan mengharungi dua aksi persahabatan di Vietnam dan Thailand.
   
Pada kedua-dua perlawanan yang masing-masing berlangsung pada 3 dan 7 Nov itu, skuad Harimau Malaya tumpas dengan keputusan 0-1 kepada Vietnam dan 0-2 kepada Thailand.
   
Sementara itu, pengurus peribadi Ahmad Fakri, Faisal Zakariah berkata Ahmad Fakri akan bertolak ke Portugal selepas berakhirnya kempen Piala AFF Suzuki, Disember ini.
   
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut hadir berkata badan induk bola sepak kebangsaan itu bangga dengan pengiktirafan yang diberikan oleh pasukan luar negara yang berminat mendapatkan pemain tempatan.

Beliau juga turut tidak menolak kemungkinan bahawa lebih banyak pemain muda berpotensi terutamanya pemain Harimau Muda A bakal mengikuti jejak langkah Muhammad Nazmi dan Ahmad Fakri.
   
Sementara itu, ejen bola sepak Portugal, Marco Guimares, yang terpikat dengan bakat pemain itu semasa kempen Piala Malaysia musim ini, berkata Ahmad Fakri dijangka mengisi slot penyerang dalam kesebelasan utama skuad itu. - Bernama




Profil pemain 
Nama penuh : Ahmad Fakri Saarani
Tarikh lahir : 8 Julai 1989 (23 tahun)
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Posisi: Penyerang / Sayap Kanan
Kelab sekarang : Felda United FC
Kerjaya : 
2007 Perak
2008 Harimau Muda A
2009 Harimau Malaya
2009-2010 Perlis 
2011-2012 Negeri Sembilan
2012 Felda United 
 
Pencapaian antarabangsa:
2009 Emas Sukan Sea
2010 Juara Piala AFF Suzuki
2011 Emas Sukan Sea