KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan melakukan ujian air kencing secara mengejut terhadap pemandu bas ekspres yang keluar masuk ke negeri ini sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2017 bermula semalam hingga 2 Julai depan.

Pengarahnya, Mahasan Mustapa berkata, pemeriksaan tersebut bagi memastikan tiada pemandu bas di bawah pengaruh dadah dan alkohol semasa memandu.

"Kami sentiasa memantau dan memberi perhatian terhadap mereka (pemandu bas) kerana mereka membawa ramai penumpang dan akan memberikan kesan teruk kepada pengguna jalan raya lain sekiranya sesuatu kemalangan berlaku," katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi tersebut di sini, hari ini.

Mahasan berkata pemeriksaan mengejut itu tidak hanya dilakukan di terminal bas utama yang terdapat di negeri itu, tetapi juga di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan yang terdapat di setiap daerah selain penyamaran anggota penguatkuasa yang menaiki bas.

Beliau berkata pihaknya juga turut memberikan perhatian kepada jadual perjalanan bas bagi memastikan setiap pemandu tidak melakukan perjalanan secara berlebihan dalam sesuatu tempoh. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BENTONG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 77,242 saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) sehingga semalam, sejak sistem itu dikuatkuasakan pada 15 April lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.