LABUAN - Sebuah pusat bantuan operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dibina di Sandakan, Sabah dalam usaha mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di ruang udara negara ini daripada ancaman luar.

Pusat itu yang dijangka dibina tahun depan berfungsi sebagai tempat bagi menguruskan operasi pesawat TUDM daripada segi kelengkapan logistik, keselamatan dan pentadbiran.

Panglima Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad berkata, pusat itu akan membantu anggota tentera yang sedang melakukan Op Pasir di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

"Sebuah pusat bantuan operasi telah ditubuhkan di Tawau dan mempunyai infrastruktur, anggota serta beberapa aset seperti helikopter.

"Kami percaya dengan penubuhan pusat bantuan berkenaan di Sandakan ia akan meningkatkan tahap keselamatan di Wilayah Udara Dua ini serta akan lebih terjamin di masa hadapan," katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Eksesais Paradise 2/2015 (Ex-Paradise) di Pangkalan TUDM Labuan di sini, hari ini.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian perancangan TUDM dalam menghadapi ancaman semasa daripada pelbagai aspek.

Ackbal berkata pihaknya juga akan memindahkan satu skuadron pejuang ke Pangkalan Udara Labuan.

Namun beliau enggan mengulas lanjut bila pihaknya akan memindahkan skuadron itu.

"Usaha itu adalah untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan di ruang angkasa di wilayah berkenaan daripada ancaman musuh luar," katanya.

Lebih 100 anggota TUDM daripada pelbagai kepakaran terlibat dalam eksesais yang bermula semalam hingga hari ini, melibatkan pelbagai aset seperti pesawat pejuang Su-30 MKM, Hawk dan F/A 18D.

Ackbal berkata eksesais itu penting bagi TUDM kerana ia merupakan platform untuk menguji dan mempertingkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan TUDM ke arah pelaksanaan misi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan ruang angkasa negara yang lebih efektif.

Ex-Paradise adalah eksesais TUDM yang tertumpu kepada latihan peringkat taktikal yang membuktikan kemapanan TUDM melaksanakan Operasi Udara di Wilayah Udara 2 (Sabah dan Sarawak).

Selain itu, seramai 58 wakil media tempatan menyertai Hari Media bersama Kementerian Pertahanan dan TUDM sempena Ex-Paradise 2/2015. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Bahagian Perhubungan Awam TUDM (MTU-Sekretariat Delta) berjaya mengharumkan nama TUDM setelah dinobatkan sebagai penerima anugerah dari Dewan Sosial Media Malaysia pada Malam Anugerah Media Sosial Malaysia Tahun 2017 yang diadakan di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.
  • SUBANG - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah bersedia dengan beberapa pesawat untuk melaksanakan arahan misi kemanusian bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan laporan bahawa kontena mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi telah hilang di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor Bahru.
  • SHAH ALAM - Pesawat EC725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari No 10 Skuadron melaksanakan tugas Penerbangan Medical Evacuation (Medevac) untuk menerbangkan pesakit, Kamarul Zaman Khamis dari Kem Terendak ke Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan (HAT TM) untuk mendapatkan rawatan rapi dari doktor pakar.
  • TAWAU - Seramai 46 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang akan bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri diraikan dalam satu majlis Penyampaian Bungkusan Hari Raya di Pusat Bantuan Operasi Udara (PBOU), di sini hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.