Pesara rugi lebih RM400,000 diperdaya sindiket penipuan

DUNGUN - Seorang pesara kerugian RM420,410.48 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai wakil Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan polis, November lepas.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, lelaki berusia 70 tahun itu menerima panggilan pada 26 November mendakwa namanya telah mendaftar meter TNB di Pahang, yang dinafikan oleh mangsa.
"Panggilan telefon kononnya disambungkan kepada seorang sarjan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang sebelum ke Bukit Aman dengan mangsa dimaklumkan namanya mempunyai rekod pengubahan wang haram dan perlu berhubung dengan dua pegawai polis untuk menyelesaikan kes.
"Mangsa diminta memindahkan kesemua wangnya bagi tujuan pengesahan yang dilakukan menerusi 11 transaksi ke tujuh akaun bank selain menyerahkan kad bank serta nombor pin kepada dua individu yang menyamar sebagai pegawai polis di lokasi berhampiran rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Maizura berkata, mangsa berasa ditipu apabila wang itu tidak dipulangkan seperti dijanjikan, menyebabkannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun di sini semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Pesara kerugian RM420,410.48 akibat penipuan sindiket menyamar sebagai TNB dan polis
- Mangsa berusia 70 tahun terima panggilan palsu tentang pendaftaran meter TNB atas namanya di Pahang
- Ditipu untuk berhubung dengan pegawai palsu untuk selesaikan isu rekod pengubahan wang haram
- Diminta transfer semua wang untuk "pengesahan" melalui 11 transaksi ke tujuh akaun bank berbeza
- Buat laporan polis selepas wang tidak dikembalikan seperti janji, kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
