[VIDEO] UMNO Negeri Sembilan sokong had tempoh MB ikut jawatan PM tidak lebih 10 tahun

SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan bersetuju sekiranya tempoh perkhidmatan Menteri Besar (MB) turut dihadkan tidak melebihi 10 tahun selaras dengan rang undang-undang (RUU) had tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) yang akan dibentangkan nanti.
Pengerusinya yang juga Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan di peringkat negeri kerana mampu mewujudkan urus tadbir yang lebih baik.
“Saya setuju pendekatan ini dilaksanakan di Negeri Sembilan, bukannya mempunyai niat yang terselindung, tetapi untuk kepentingan negeri dan rakyat.
“Bagi saya, ini merupakan satu pendekatan yang boleh ada penambahbaikan nilai dalam semua aspek termasuk urus tadbir, pembangunan dan ekonomi negeri,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Sembilan di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan supaya tempoh jawatan MB turut dihadkan tidak melebihi 10 tahun seperti RUU had tempoh jawatan PM.
Mengenai cadangan itu, Ahli Parlimen Jelebu berkenaan berkata, ia merupakan satu pendekatan luar biasa, namun baik untuk negara.
Menurutnya, langkah tersebut dapat memberi peluang kepada pemimpin lain untuk mentadbir urus negara dengan pendekatan yang boleh ditambah baik.
“Kalau di peringkat negeri, itu juga boleh difikirkan kerana ketua bagi sesuatu organisasi dan negara, tidak boleh dipegang oleh mana-mana individu dalam tempoh terlampau lama.
“Ia termasuklah di jabatan yang mana sesuatu pengarah tidak boleh berada di sesuatu jabatan yang sama melebihi 10 tahun,” katanya.
Jelas beliau, setiap ketua jabatan perlu dipindahkan atau ditukar apabila mencapai tempoh tertentu yang difikirkan wajar kerana ia mampu memberi nilai tambah terhadap kualiti dan urus tadbir, sekali gus mengelakkan berlakunya rasuah atau salah guna kuasa.
Dalam perkembangan lain, beliau menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan berada dalam keadaan tidak stabil, malah hubungan dengan DAP disifatkan berada pada tahap yang baik.
“Di Negeri Sembilan ini, kita mempunyai persefahaman yang baik. Walaupun ada satu dua perkara yang tentunya tidak mendatangkan kepuasan hati dalam kalangan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin-pemimpin parti, tetapi ini adalah lumrah dalam sesuatu urus tadbir.
“Bagi saya selagi kerajaan boleh diurus dengan adil dan saksama, saya yakin di Negeri Sembilan kita akan terus stabil,” katanya.
Ringkasan AI
- UMNO Negeri Sembilan bersetuju had tempoh perkhidmatan Menteri Besar tidak melebihi 10 tahun
- Cadangan itu dipercayai dapat mewujudkan urus tadbir yang lebih baik
- Langkah tersebut dianggap sebagai pendekatan yang baik untuk negara, membolehkan penambahbaikan dalam urus tadbir dan pembangunan
- Setiap ketua jabatan perlu dipindahkan atau ditukar setelah mencapai tempoh tertentu untuk mengelakkan rasuah
- Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dikatakan stabil dengan hubungan baik antara DAP dan pemerintah negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

