TELUK INTAN - Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim meminta rakyat di negara ini tidak terpedaya dengan dakwaan yang tersebar bahawa ada bahagian Masjidil Haram runtuh dalam kejadian malam tadi.

Sebaliknya kata Abdul Azeez, yang berlaku ialah insiden rempuhan apabila orang ramai berasak-asak mahu melihat ke dalam Kaabah apabila pintunya dibuka semasa struktur itu dicuci.

"Saya terima laporan daripada pihak Lembaga Tabung Haji tiada bangunan yang runtuh. Semalam hari mencuci Kaabah dan pintu Kaabah dibuka. Jadi orang ramai berpusu-pusu untuk lihat proses itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan empat orang cedera namun tidak membabitkan rakyat Malaysia.

"Saya harap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan laporan tidak benar yang tersebar di laman sosial," katanya yang ditemui selepas menghadiri taklimat akhir persiapan pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Azeez diminta mengulas kejadian yang berlaku di Makkah malam tadi, termasuk dakwaan terdapat bahagian Masjidil Haram yang runtuh.

Proses mencuci Kaabah termasuk bahagian dalam dilakukan dua kali setahun iaitu pada bulan Muharram dan Syaaban, bulan pertama dan kelapan dalam kalendar Hijrah.

Sementara itu, mengulas taklimat tertutup bersama Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Abdul Azeez berkata taklimat merangkumi tugas jentera parti bagi beberapa jam terakhir sebelum tempoh kempen tamat tengah malam ini.

"Seluruh jentera juga diminta keluar mengundi awal dan kemudian teruskan tugas membantu pengundi," katanya dan menambah taklimat yang berlangsung lebih sejam itu turut dihadiri wakil parti-parti komponen BN. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU SELANGOR - Penduduk Taman Idaman, Serendah bimbang kemungkinan berlaku lagi tanah runtuh susulan hujan sekejap-sekejap yang berlaku sejak semalam.
  • IPOH - Cameron Highlands selamat dikunjungi termasuk bagi melakukan aktiviti riadah bersama keluarga terutama pada musim cuti sekolah sekarang, kata Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Zainalabidin Othman.
  • PETALING JAYA - Enam pekerja warga Bangladesh dilaporkan tertimbus di bawah runtuhan tingkat empat sebuah bangunan dalam pembinaan di Persiaran Barat, di sini pagi tadi.
  • KUALA LUMPUR - Video pentas runtuh dalam satu sesi bergambar yang didakwa melibatkan pelajar Malaysia di sebuah Universiti di Mesir adalah tidak benar.
  • KUALA LUMPUR - Lima buruh warga asing cedera dengan seorang daripadanya parah apabila sebahagian struktur Melawati Mall di Taman Melawati di sini yang dalam pembinaan, runtuh malam ini.