Lelaki mengaku curi 17 jongkong emas, berlian RM254,000 milik Pegawai Kewangan Negeri

MELAKA – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, pada Selasa atas pertuduhan mencuri barang kemas dan jongkong emas di kediaman Pegawai Kewangan Negeri dengan nilai dianggarkan RM254,000.
Tertuduh, Mohd Zakuan Abdul Rashid, 35, yang turut berdepan pertuduhan berniaga barangan curi berkenaan, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Rohatul Akmar Abdullah sebaik pertuduhan dibacakan.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mencuri dalam sebuah bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman milik Datuk Salhah Salleh antara Jun 2024 hingga Disember 2025.
Perbuatan itu melibatkan wang tunai RM20, seutas gelang emas, dua bentuk cincin berlian, dua gelang berlian serta 17 ketul jongkong emas dengan berat keseluruhan dianggarkan 86 gram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Rumah Kerajaan Pegawai Kewangan Negeri di Bukit Peringgit dalam daerah Melaka Tengah.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, tertuduh boleh dihukum penjara serta dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut mengaku bersalah dengan lazimnya berniaga barangan curi berkenaan di Kampung Paya Rumput, dalam daerah Melaka Tengah.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, seorang peniaga emas, Noazira Jaafar, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima barang kemas berkenaan.
Peguam Ishak Kari memohon anak guamnya dikenakan jaminan rendah dengan alasan pendapatan bulanan kurang RM4,000 bagi menyara anak yang masih kecil, selain suaminya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik mencadangkan setiap tertuduh dikenakan jaminan RM100,000 kerana melibatkan kerugian tinggi yang ditanggung mangsa.
Hakim Rohatul Akmar tidak membenarkan ikat jamin terhadap Mohd Zakuan, manakala Noazira dibenarkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 10 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki mengaku bersalah mencuri barang kemas di kediaman Pegawai Kewangan Negeri di Melaka
- Tertuduh, Mohd Zakuan Abdul Rashid, berusia 35 tahun
- Pencurian melibatkan jongkong emas dan barang kemas dengan nilai dianggarkan RM254,000
- Tertuduh juga mengaku bersalah berniaga barang curi
- Pertuduhan mengikut Seksyen 380 dan 413 Kanun Keseksaan, boleh hukum penjara dan denda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

