Musa diperintah bayar RM250,000 fitnah Hannah isu Kristianisasi

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan diperintah membayar ganti rugi RM250,000 kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh kerana memfitnahnya berhubung isu Kristianisasi dalam sebuah forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM), enam tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azimah Omar (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu.
Azimah yang bersidang bersama Hakim, Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman turut memerintahkan Musa membayar kos sebanyak RM60,000 kepada Hannah, 47.
Semasa membaca keputusan sebulat suara lebih 90 minit, hakim itu berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersilap dalam membuat keputusan apabila membenarkan pembelaan Musa, 75, selaku responden.
Katanya, perkara itu membabitkan isu justifikasi, komen yang adil dan perlindungan bersyarat dalam kenyataan yang didakwa perayu iaitu Hannah.
“Responden mempunyai pengaruh kerana memegang jawatan tinggi, maka beliau tidak boleh menyebarkan berita palsu secara melulu.
“Meskipun menjadi bekas KPN, hujahan mengenai kebebasan bersuara berhubung isu penting terhadap negara atau agama, tidak memberikannya hak untuk membuat kenyataan tanpa berhati-hati atau akauntabiliti,” katanya.
Hakim itu berkata, undang-undang Malaysia menekankan bahawa semua kenyataan awam, tanpa mengira status atau kuasa individu, mesti dibuat secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, meneliti rayuan terbabit, fitnah yang dilemparkan didapati serius dan sangat merosakkan, selain menunjukkan tindakan responden yang cuai terhadap hak perayu.
Katanya, responden juga gagal membuktikan pembelaan yang merujuk komen dibuat berdasarkan keadilan.
“Setelah mengkaji sifat fitnah dan kesan buruknya terhadap reputasi peribadi serta profesional Hannah, mahkamah mendapati wajar untuk menganugerahkan sejumlah wang global sebagai ganti rugi.
“Kami menganugerahkan perayu ganti rugi RM250,000 dengan kos sebanyak RM60,000,” kata Azimah.
Sebelum ini, Hannah yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan memfailkan saman terhadap Musa berhubung kenyataannya di forum itu pada 30 Januari 2020.
Hannah mendakwa Musa, dalam ucapannya antara lain menuduh beliau menulis buku bertajuk 'Becoming Hannah' untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian, termasuk mempunyai hubungan dengan mubaligh agama itu dan Yahudi demi menjejaskan Islam serta Malaysia, selain mengutamakan kepentingan peribadi berbanding negara.
Bagaimanapun, pada 23 Disember 2024, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Arziah Mohamed Apandi menolak saman selepas mendapati Hannah gagal membuktikan bahawa kenyataan Musa bersifat fitnah.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu buku Hannah Yeoh: Kertas siasatan dirujuk kepada AGC
Mahkamah tolak saman fitnah Hannah Yeoh terhadap Musa Hassan
Ringkasan AI
- Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan diperintah membayar ganti rugi RM250,000 kepada Hannah Yeoh atas isu memfitnah
- Panel hakim memutuskan Musa juga perlu membayar kos sebanyak RM60,000 kepada Hannah Yeoh
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersilap dalam membenarkan pembelaan Musa
- Undang-undang menekankan kenyataan awam mesti dibuat secara bertanggungjawab, tanpa mengira status
- Fitnah yang dilemparkan terhadap Hannah Yeoh dianggap serius dan merosakkan reputasinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

