KUALA LUMPUR- Seorang anggota tentera dihukum penjara 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol isteri rakannya ketika menumpang tidur di rumah mangsa, tahun lalu.

Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Koperal Mohd Zulkarnain Abdul Razak, 37, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum (hari ini).

Seramai 10 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2016.

Ketika rayuan, peguam tertuduh, Mohd Azhar Mohd Ghazali memohon mahkamah  menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira jasa anak guamnnya kepada negara yang telah 18 tahun berkhidmat dalam pasukan tentera.

“Tertuduh juga mempunyai seorang anak kecil berumur lapan tahun. Jika satu tempoh pemenjaraan yang panjang diberikan, tertuduh akan kehilangan semua keistimewaan yang dikecapi sepanjang perkhidmatan dalam tentera dan anaknya juga akan berhadapan dengan stigma masyarakat dengan pemenjaraan bapanya ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, M.Arunjothy memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam, trauma, emosi dan malu yang dihadapi mangsa dan keluarganya ekoran kejadian itu.

Pada 22 Julai 2016, Mohd Zulkarnain mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa berusia 25 tahun 10 bulan di dalam bilik tidur rumah mangsa di sebuah pangsapuri di sini pada jam 3.30 pagi, 12 Julai 2016.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa mangsa sedang tidur bersama anaknya di dalam bilik, mangsa tersedar apabila merasakan dia dihempap dan dalam keadaan gelap dan separuh sedar kerana mengantuk, mangsa merasakan ada berlaku kemasukan ke dalam kemaluannya.

Lalu wanita itu membuka matanya sedikit dan melihat seorang lelaki berkepala botak yang mana mangsa menyangka lelaki itu adalah suaminya kerana suaminya juga berkepala botak.

Tertuduh juga cuba untuk meliwat mangsa menyebabkan mangsa terkejut lalu bangun dan melihat lelaki itu bukan suaminya sebaliknya adalah rakan suaminya yang ketika itu dalam keadaan bogel.

Mangsa menjerit namun tertuduh menyuruh mangsa supaya tidak bising dan dia segera memakai pakaiannya dan meninggalkan mangsa sebelum mangsa menghubungi suaminya yang ketika itu tiada di rumah. Difahamkan tertuduh telah datang ke rumah rakannya itu untuk menumpang tidur selama sehari. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Hasrat seorang pekebun untuk mati syahid dengan menyertai kumpulan pengganas Daesh tidak kesampaian apabila dia akhirnya ditangkap pihak berkuasa dalam satu serbuan di sebuah rumah pada 16 Mac tahun lepas.
  • KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Padah mencabul anak saudara perempuan berusia tiga tahun, seorang penganggur dihukum penjara 24 tahun dan 14 sebatan di mahkamah sesyen, di sini, hari ini.
  • KOTA BHARU - Seorang buruh binaan dihukum penjara lima tahun di mahkamah sesyen, hari ini, atas dakwaan memiliki pedang berukuran 54 sentimeter bulan lalu.
  • KLANG - Gara-gara menghayun kayu hoki bertujuan menakut-nakutkan individu lain, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Seorang buruh dihukum penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas dua pertuduhan menggunakan dadah dan memiliki dadah yang disorokkan dalam kotak rokok pada Ogos lepas.