Masih terkenang rakan dibunuh komunis

Pelbagai cabaran ditempuhi ketika berkhidmat dalam pasukan PDRM. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pelbagai cabaran ditempuhi ketika berkhidmat dalam pasukan PDRM. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SERAMAI 30 orang pengganas komunis berjaya ditangkap, serah diri atau mati ditembak di dalam pertempuran di Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1980-an, kata bekas Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Muhammad Fuad Talib.

Beliau berkata, kejayaan itu merupakan hasil daripada maklumat risikan Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Muhammad Fuad. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Muhammad Fuad. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Pada ketika itu, saya bertugas sebagai SB. Kami hanya memberi maklumat risikan, operasi selanjutnya dilaksanakan oleh pasukan VAT 69 atau polis hutan,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Mengimbau kembali kejayaan itu, Muhammad Fuad berkata, beliau mula berkhidmat dalam pasukan PDRM pada 10 Jun 1970 sebagai Inspektor Pelatih di Maktab PDRM di Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor.

Muhammad Fuad (enam kiri) ketika menghadiri mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.
Muhammad Fuad (enam kiri) ketika menghadiri mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

“Saya kemudian diserapkan dalam pasukan SB di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, setelah menjalani latihan selama enam bulan.

“Selepas itu, saya ditugaskan di Bahagian Inteligen sosial serta ekonomi selain berhadapan dengan ancaman bawah tanah komunis pada 1975,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Fuad memberitahu, beliau turut ditugaskan memantau keselamatan di sebuah kawasan perkampungan nelayan di Perak dan mengawasi pertikaian antara kumpulan nelayan pantai dan nelayan pukat tunda di kawasan pantai Kuala Gula serta Kuala Kurau Perak.

“Sering kali berlaku pergaduhan di antara mereka sehingga menyebabkan pembunuhan kerana isu pencerobohan,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Fuad berkata, beliau kemudian ditukarkan ke Gerik, Perak sebagai Timbalan Ketua Cawangan Khas Daerah dan telah menyerahkan tugas di IPK Perak kepada seorang Inspektor Pelatih yang dikenali sebagai Md Zain (Allahyarham).

Muhammad Fuad bersara pada 2007.
Muhammad Fuad bersara pada 2007.

Selepas seminggu serah terima tugas itu, Md Zain telah diarahkan membuat pemeriksaan di sebuah rumah di pekan Pasir Putih, Ipoh, Perak.

“Dalam operasi itu, Md Zain telah terkorban akibat ditembak oleh seorang ahli kumpulan bawah tanah komunis, namun anggota polis lain berjaya menembak mati pengganas berkenaan,” ujarnya yang masih terkenang peristiwa tersebut.

Muhammad Fuad memberitahu, difahamkan sebelum kejadian itu, Md Zain telah meminta kad pengenalan seorang lelaki yang juga askar komunis.

“Pengganas itu kemudian telah menyeluk tangan di dalam begnya yang berisi sepucuk pistol, kemudian melepaskan tembakan ke perut Md Zain,” katanya.

Beliau berkata, ancaman komunis bawah tanah ketika itu amat tinggi dan berbahaya kerana kumpulan pengganas itu bergerak di kalangan orang awam.

“Kita tidak tahu siapa mereka (komunis), mereka melakukan pembunuhan untuk melemahkan semangat atau moral anggota polis,” katanya.

Ketua Polis Perak maut dibunuh komunis

Menurutnya, pada 14 November 1975, Ketua Polis Perak ketika itu, Tan Sri Khoo Chong Kong meninggal dunia akibat cedera parah ditembak komunis di persimpangan Jalan Fair Park, Ipoh.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 petang (13 November), Chong Kong dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari IPK Perak dengan menaiki kenderaan rasmi yang dipandu Konstabel Yeong Peng Cheong.

“Beliau (Chong Kong) yang ketika itu duduk di bahagian penumpang belakang, dihampiri oleh dua lelaki berpakaian seragam putih dengan menaiki sebuah motosikal,” katanya.

Muhammad Fuad (berdiri tujuh dari kanan) pernah menyertai latihan bomba dan penyelamat.
Muhammad Fuad (berdiri tujuh dari kanan) pernah menyertai latihan bomba dan penyelamat.

Semasa sedang berhenti di persimpangan jalan tersebut, secara tiba-tiba beberapa das tembakan dilepaskan dua lelaki berkenaan tanpa sempat untuk Chong Kong menyelamatkan diri.

“Peng Cheong cuba membalas tembakan musuh bagi melindungi ketuanya tetapi dia juga terkena tembakan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Meskipun Chong Kong segera dikejarkan ke Hospital Besar Ipoh, namun malangnya kecederaan yang dialami amat parah dan beliau menghembuskan nafas terakhir, selepas 28 jam bertarung nyawa,” ujarnya.

Muhammad Fuad menambah, ketika bertugas di Gerik, kawasan tersebut juga 'panas' dengan ancaman komunis kerana berlaku guerrilla warfare di dalam hutan di sempadan negara.

“Empat orang boat man yang hendak menghantar ration kepada pasukan keselamatan melalui sungai telah diserang hendap oleh pengganas komunis menyebabkan mereka terkorban.

Muhammad Fuad (kiri) bersama rakan setugas di Kumpulan Keselamatan Sunway.
Muhammad Fuad (kiri) bersama rakan setugas di Kumpulan Keselamatan Sunway.

“Selain itu, pengganas komunis sanggup meletupkan jentera berat yang diguna untuk membina Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik ke Jeli, Kelantan sehingga membantutkan sebahagian kerja pembinaan jalan berkenaan,” katanya.

Muhammad Fuad berkata, antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah ketika membuat tinjauan di Banjaran Titiwangsa untuk persiapan pemindahan penduduk Kampung Temenggor di kawasan pedalaman hutan pada 1977.

“Pada ketika itu, saya bersama-sama dengan lima rakan sepasukan serta orang kampung telah menaiki sebuah 'lori hantu' atau dikenali sebagai ‘san tai wong’ dari Kampung Bersia, Gerik.

“Perjalanan kami sejauh 32 kilometer itu menyusuri jalan lereng bukit yang sempit, setelah membuat tinjauan, kami terus pulang kerana bimbang keadaan gelap dan berbahaya,” katanya.

Menurutnya, difahamkan lokasi yang dilalui tersebut merupakan kawasan operasi komunis dari kumpulan '12 Assault'.

“Pada ketika itu kenderaan yang dinaiki merupakan soft target kerana komunis dapat melihat pergerakan lori tersebut, pengganas boleh menggunakan serangan hit and run,” ujarnya.

Masih aktif berbasikal untuk kekal sihat.
Masih aktif berbasikal untuk kekal sihat.

Beliau berkata, setibanya di satu lorong yang berliku lori yang dinaiki terpaksa berhenti kerana terdapat sebatang buluh yang telah dilenturkan dan diikat di tebing jalan.

“Melihat keadaan itu, kami berasa cemas dan menjangkakan akan berlaku sesuatu seperti serangan hendap.

“Pemandu lori telah turun dan memotong pohon buluh, kami berasa bersyukur kerana tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Muhammad Fuad berkata, selang beberapa bulan, hasil maklumat daripada salah seorang pengganas komunis yang menyerah diri mengakui mereka ternampak lori tersebut dan bersedia untuk melakukan serangan hendap.

“Bagaimanapun, mereka telah membatalkan niat kerana memikirkan kesan buruk daripada serangan hendap tersebut,” jelasnya.

Muhammad Fuad yang berasal dari Melaka berkata, beliau kemudian ditugaskan sebagai Ketua Cawangan Khas Daerah di Kuala Kangsar pada 1980.

“Kita tidak jangka ancaman komunis turut berlaku di sekitar kawasan Gunung Hijau, kita menerima maklumat bahawa pengganas itu turut menangkap serta mengancam petani yang menanam halia.

“Hasil dari rangkaian intelligence yang diketuai oleh saya, seramai 5 orang pengganas komunis telah berjaya dibunuh,” ujarnya.

Pasukan khas tragedi Highland Tower

Muhammad Fuad memberitahu, beliau juga telah membentuk satu pasukan khas menyelamat susulan tragedi sebuah daripada tiga blok kondominium Highland Towers yang tumbang pada 11 Disember 1993 sehingga meragut 48 nyawa.

“Kita menyedari perlu ada satu pasukan khas menyelamat sehingga tertubuhnya Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang bertindak sebagai salah satu agensi penting semasa bencana alam melanda tidak kira di dalam mahupun luar negara.

Pasukan itu dianggotai tentera, PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Bercerita lebih lanjut lanjut, anak sulung daripada 12 beradik itu berkata, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Tumpat pada tahun 1997.

Muhammad Fuad bergambar bersama ahli keluarganya.
Muhammad Fuad bergambar bersama ahli keluarganya.

“Kita menerima maklumat berlaku penyeludupan beras, segelintir suspek tempatan mengambil upah antara RM20 hingga RM30 untuk menyeludup sekampit beras dari negara jiran.

“Saya amat memandang serius isu jenayah rentas sempadan yang berlaku di kawasan itu dan telah melancarkan operasi besar-besaran yang melibatkan semua agensi kerajaan dikenali sebagai Ops Ambai serta menghasilkan kejayaan,” ujarnya.

Tambah bapa kepada tujuh orang anak itu, pihaknya juga berjaya melumpuhkan beberapa sindiket penyeludupan kontraban di daerah berkenaan.

Semasa menyertai aktiviti mendaki gunung.
Semasa menyertai aktiviti mendaki gunung.

Menurut Muhammad Fuad, kejayaan tersebut adalah hasil maklumat, kerjasama dan hubungan baik PDRM dengan pihak polis negara jiran.

“Beberapa individu telah dikenakan tindakan undang-undang termasuk perintah buang daerah,” kata beliau.


PROFIL

Tamat pengajian Diploma Strategik dan Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1986.

Lanjut pengajian di UKM pada 1989 dan kemudian di Universiti Putra Malaysia.

Bertugas di Majlis Keselamatan Negara pada 1990 sehingga 1996.

Dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Subang Jaya pada 2004, dinaikkan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner dan menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Terengganu sabelum persaraannya.

Kini aktif sebagai Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) serta menjadi Setiausaha MCPF Selangor selepas bersara pada 2007.

Kini bertugas sebagai Penolong Pengarah Kumpulan Keselamatan Sunway.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!