SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan hari ini menjawab tular gambar rangka pesawat helikopter Nuri M23-15 yang diambil di bengkel barangan lusuh.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Strategik, Kementerian Pertahanan berkata, perkara itu dibuat mengikut Pemeriksaan Pelupusan aset alih.

"Gambar yang menjadi tular itu telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pihak tertentu dan mencalarkan imej Kementerian Pertahanan amnya dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khususnya.

"Pemeriksaan Pelupusan aset alih telah dilaksanakan pada 14 November 2016 di mana kerajaan memutuskan untuk melupus aset alih kerajaan pesawat helikopter Nuri pada Disember 2016.

"Helikopter Nuri adalah pesawat TUDM yang terlibat dalam kemalangan di Pulau Perak pada Disember 2013," kata kenyataan itu.

Faktor utama ia dilupuskan adalah rangka pesawat telah mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat digunakan lagi.

Kerana itu, kerajaan tidak mahu menanggung kos yang tinggi bagi membaiki rangka. Kerajaan juga memutuskan pesawat berkenaan terpaksa dilupuskan dan tidak boleh dibaiki sebagai bahan pameran di mana-mana muzium.

Keadaan fizikal pesawat tersebut hanyalah rangka kosong dan pelupusannya adalah secara jualan sisa yang dipotong terlebih dahulu.

Manakala komponen mekanikal dan juga sistem telah dikeluar dan diserahkan kepada TUDM untuk dibaik pulih.

Atas faktor keselamatan, rangka pesawat berkenaan telah dikeluarkan dari Pangkalan Udara Butterworth pada 9 Jun 2017 dan dihantar ke bengkel barang-barang lusuh milik Hamid Yaakob di Sungai Petani, Kedah untuk kerja-kerja pemotongan.

Kerja-kerja pemotongan hanya dapat dibuat semalam dan dijangka siap pada 16 Jun ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.