Sindiket jual diesel pasaran gelap tumpas

Sebuah lori ditahan penguat kuasa KPDN Perak selepas didapati menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Ipoh. Foto: KPDN Perak
Sebuah lori ditahan penguat kuasa KPDN Perak selepas didapati menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Ipoh. Foto: KPDN Perak
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Op Tiris 3.0 di sebuah stesen minyak di Chepor Indah pada Rabu.

Serbuan sekitar jam 1.30 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN hasil maklumat awam dan risikan selama seminggu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sindiket terbabit didapati membuat pengisian diesel ke tangki asal lori yang telah diubah suai dengan sambungan paip terus ke tangki fiber yang disembunyikan di atas lori.

"Siasatan awal juga mendapati, pemandu kenderaan akan menjual diesel ini kepada pasaran gelap yang disyaki melibatkan beberapa syarikat sekitar Ipoh pada harga yang lebih tinggi.

"Diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3 hingga RM4 per liter mengikut harga pasaran minyak diesel industri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, semakan awal juga mendapati syarikat kepada kenderaan lori ini tidak mempunyai apa-apa kebenaran atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk membeli minyak diesel dalam suatu kuantiti yang banyak.

"Hasil pemeriksaan juga telah menemui anggaran sebanyak 2,700 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam empat tangki fiber.

"Cecair yang disyaki minyak diesel serta kenderaan lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pam, wayar, paip dan lain-lain bernilai keseluruhan RM46,449 telah disita untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamalludin berkata, pemandu berusia 27 tahun dan kelindannya berusia 28 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

"Stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada termasuklah syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Sindiket jual diesel di pasaran gelap tumpas