ALOR SETAR - Misteri kehilangan tiga beradik sejak Jumaat lalu, terjawab apabila kesemua mereka ditemui meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati di dua lokasi berasingan.

Noor Syafikah Nadia, 14, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang berhampiran kawasan bendang di Kampung Alor Senibong, Langgar, semalam.

Manakala dua adiknya Nur Izzati Husna, 12, dan Putri Nurul Akmal, 3, ditemui kira-kira jam 3 petang, hari ini dalam keadaan terapung dalam tali air Terusan Mada Kampung Padang Petani, dekat sini.

Dalam kejadian berkenaan, Noor Syafikah, anak sulung kepada pasangan Rusdi Rani, 38, dan Siti Aishah Ariffin, 40, keluar rumah bersama dua adiknya di Jalan Datuk Kumbar, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, Jumaat lalu.

Tiga beradik itu ke rumah seorang kawannya yang terletak di Kampung Gelam kira-kira 15 minit dari rumah mereka.

Bagaimanapun mereka tidak pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam membuatkan pasangan berkenaan membuat laporan polis berhubung kehilangan anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 2 pagi, Sabtu.

Pencarian mereka membawa kepada penemuan motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan baik di pondok menunggu bas dalam keadaan berkunci.

Penemuan mayat Noor Syafikah terus menimbulkan keresahan keluarga kerana dua adiknya lagi masih gagal dikesan.

Bagaimanapun selepas kira-kira sejam selepas jenazah Noor Syafikah dikebumikan, hari ini, keluarga terbabit dikejutkan dengan penemuan mayat dua lagi anak mereka yang merungkai kehilangan tiga beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim menyifatkan kejadian berkenaan bukanlah tragedi biasa.

Menurut beliau, selepas penemuan mangsa pertama, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan lemas dan pihaknya tidak menemui kesan-kesan lain pada badan mangsa.

“Kita juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan seksual termasuk rogol melainkan kesan calar pada bahagian belakang mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Manakala dua mayat yang baru ditemui akan dibedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mereka,” katanya ketika ditemui media di lokasi kedua penemuan mayat di Terusan Mada Kampung Padang Petani, hari ini.

Tambah beliau, polis turut menemui sehelai seluar berhampiran mangsa kedua tetapi masih belum dapat dikenal pasti sama ada seluar itu kepunyaan mangsa pertama atau sebaliknya.

“Kita akan minta mak dan ayah mangsa untuk buat pengecaman seluar yang ditemui dan akan meminta pihak hospital membuat bedah siasat secepat mungkin.

“Saya ingat ini bukan kejadian biasa disebabkan ketiga-tiga mangsa ditemui di lokasi berasingan,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya akan memberi keutamaan untuk menyiasat kes terbabit.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah kondominium di Jalan Pandan 3/11, Pandan Jaya, Selangor petang semalam.
  • BAGAN SERAI - Perjalanan seorang lelaki ke tempat kerja berakhir tragedi apabila dia maut selepas merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 181, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran Plaza Tol Alor Pongsu, di sini pagi tadi.
  • BENTONG - Seorang lelaki maut selepas tersepit di dalam mesin memproses kertas di sebuah kilang kertas tengah malam tadi.
  • PORT DICKSON - Seorang lelaki penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer 19.5 Lebuhraya Seremban Port Dickwon (SPDH) arah Seremban ke Port Dickson sekitar jam 8 pagi tadi.
  • GEORGETOWN - Seorang lelaki maut selepas disyaki terkena serangan jantung ketika sedang memandu lori di Jambatan Pulau Pinang petang tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.