KUALA LUMPUR - Tiga lagi pesawat Beechcraft B-200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Subang, tidak dibenarkan beroperasi buat sementara waktu susulan nahas di Pangkalan Udara Butterworth semalam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata operasi  pesawat itu digantung sementara untuk membantu siasatan punca nahas di peringkat awal.

"Sekarang ini saya arahkan semua (tiga pesawat) 'grounded' (hentikan operasi). Masih terlalu awal untuk kami dapat maklumat lengkap punca nahas.

"Saya telah arah Panglima Tentera Udara untuk kenal pasti punca nahas dan laksana pelan tindakan berkesan elak kejadian sama berulang," beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan bangunan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di Wisma Pertahanan di sini, hari ini. 

[ARTIKEL BERKAITAN: Juruterbang TUDM maut, tiga cedera pesawat terhempas]

Katanya TUDM telah menggunakan pesawat buatan Amerika Syarikat itu sejak 1994 untuk rondaan maritim selain operasi mencari dan menyelamat.    

Juruterbang Mejar C. Kayamboo, 44, terbunuh manakala Kapten Wai Lik, 26,  Lt Hamid Hanafi, 26, dan Sarjan Udara Mohd Sofi Azizan, 29, cedera apabila pesawat Beechcraft B-200T itu terhempas di Pangkalan Udara Butterworth semalam.

Hishammuddin berkata Kementerian Pertahanan sentiasa komited memastikan aset-aset pertahanan negara sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan tidak akan berkompromi dengan soal keselamatan anggota agar usaha memelihara keselamatan negara tidak terjejas. 

Hishammuddin mengalu-alukan kenyataan Panglima TUDM baharu, Jen Datuk Seri Affendi Buang, yang agenda utamanya adalah 'untuk memastikan dan melihat keselamatan anggota TUDM'.

"Saya akan berikan sokongan yang padu," kata menteri itu. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JASIN - Pesawat ringan jenis GT500 Microlight yang terhempas di Sungai Mati di sempadan Melaka dan Johor di sini awal bulan ini dikeluarkan dari lokasi kejadian pagi tadi.
  • MELAKA - Kerajaan negeri menggesa dan memberi tempoh selama dua minggu kepada pihak berkaitan untuk mengeluarkan segera bangkai pesawat Microlight GT-500 yang tenggelam di dasar Sungai Mati di sempadan Melaka dan Johor, Sabtu lalu.
  • ISKANDAR PUTERI - Polis mengesahkan pesawat ringan GT 500 yang terhempas berlaku dalam kawasan Johor bersempadan Melaka, di sini hari ini.
  • JASIN - Seorang juruterbang maut manakala pembantunya cedera apabila pesawat ringan GT 500 dikendali mereka terhempas ke dalam Sungai Mati di sempadan antara Melaka dan Johor di sini hari ini.
  • KEMAMAN - Radar pengesan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merakam penuh tragedi nahas pesawat Hawk 108 sehingga ke saat akhir ia terhempas, kata Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang