SEREMBAN – Kerajaan perlu menghalang penganjuran festival arak atau pesta seumpama itu diadakan di negara ini kerana dikhuatiri mengundang gejala lain yang lebih buruk.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berpendapat,  meskipun sasaran penganjurannya hanya merujuk kepada orang bukan Islam, namun kesan sosialnya tidak mengira agama atau bangsa.

“Penganjuran ini perlu dibantah oleh semua pihak, lebih-lebih lagi ia bertentangan dengan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan di negara ini.

“Saya bimbang akan timbul perkara lain yang boleh merosakkan masyarakat di mana kita sendiri tahu yang arak itu boleh merosakkan akal manusia. Bagi saya memang tak sesuai dan tak wajar diadakan di sini ,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menurutnya, menolak penganjurannya bukan bermakna kita tidak sensitif terhadap permintaan agama lain, sebaliknya mengelak perkara lebih buruk berlaku.

Beliau mengambil contoh, dadah yang boleh menyebabkan seseorang itu  menjadi gian sehingga boleh mendorong kepada perlakuan lebih ekstrem seperti membunuh dan begitu juga dengan arak.

“Arak itu memabukkan dan semua mengakui yang kesannya boleh merosakkan akal manusia tidak kira dia Islam atau tidak.

“Memang kita duduk dalam negara yang berbilang kaum, tapi adakah kita perlu berdiam diri bila ada pihak lain anjurkan program yang tak sesuai dengan agama kita.

"Orang India pun marah bila kita sembelih lembu untuk ibadah korban, tapi itu sudah ada dalam ajaran agama Islam berbeza dengan minum arak yang langsung tiada kaitan dengan agama,” katanya.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit bagi penganjuran pesta tersebut atas sebab keselamatan, selain ia juga bercanggah dengan enakmen yang terkandung dalam undang-undang kecil DBKL.

Bagaimanapun pihak penganjur difahamkan tetap mahu pesta itu diadakan atas alasan sejak diadakan lima tahun lalu tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini sebelum, semasa dan selepas acara.

Pesta berkenaan sepatutnya diadakan dari 6 hingga 7 Oktober ini di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur, dengan menampilkan 250 jenama arak yang berbeza daripada 43 kilang arak dari seluruh dunia.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.