BESUT - Seorang pemandu bot pelancong mati lemas di kawasan perairan Pulau Perhentian Besar dekat Tuna Bay Island Resort di sini pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Azhar Idris, 37, dari Kampung Lemal, Pasir Mas, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria ketika mengesahkan kejadian kira-kira 7.45 pagi itu berkata mangsa dilihat berenang menuju ke botnya di tengah laut, kira-kira 100 meter dari pantai.

"Beliau mungkin mengalami masalah kekejangan ketika berenang dan didapati tenggelam timbul oleh seorang pelancong asing, yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak  pengurusan Tuna Bay Island Resort.

"Dengan bantuan pelancong asing itu, Azhar berjaya dibawa ke darat dan masih sempat bercakap, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan di Pulau Perhentian Kecil," katanya kepada Bernama.

Penolong Pengurus Besar Tuna Bay Island Resort, Michael John berkata beliau bersama seorang pelancong asing yang kebetulan merupakan seorang pegawai perubatan telah menarik mangsa daripada air ke daratan.

Katanya beliau terpaksa berenang untuk menarik mangsa yang pada ketika itu tidak diketahui telah berapa lama tenggelam timbul di dalam air.

"Ketika dibawa ke darat, mangsa masih boleh bercakap-cakap sambil meminta kami berdua melakukan rawatan CPR kepadanya," kata John di rumah mayat Hospital Besut.

Menurutnya, beliau bersama pegawai perubatan itu sempat menaikkan mangsa ke dalam bot untuk dikejarkan ke Klinik Kesihatan terdekat, tetapi mangsa meninggal dunia ketika dalam  perjalanan.

Salah seorang anggota keluarga mangsa berkata jenazah abang tirinya itu akan dibawa ke Pasir Mas untuk dikebumikan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :