KUALA LUMPUR - Sebanyak 37 orang terkorban dalam nahas bas ekspres terburuk di negara ini apabila bas ekspres yang dinaiki 53 orang terjunam 60 meter ke dalam gaung di Km3.5 Jalan Genting Highlands hari ini.
   
Kemalangan itu juga mengakibatkan 16 orang cedera dengan 14 daripada mereka dilaporkan kritikal. Mereka yang cedera kini dirawat di Hospital Selayang (lapan), Hospital Kuala Lumpur (HKL) lima, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong masing-masing dua mangsa.
   
Kemalangan kira-kira pukul 2.45 petang itu berlaku ketika bas berkenaan yang  menawarkan perkhidmatan ulang alik dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands menuruni jalan curam dari puncak pusat peranginan itu menuju ke ibu kota.
   
Operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa yang terlibat dalam nahas bas itu ditamatkan 9.30 malam ini dan ia diumumkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.
   
"Gerakan untuk menyelamat telah selesai dan laporan yang kita terima ialah seramai 37 terkorban, 25 lelaki dan 12 perempuan," katanya.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S. Jeyaindran berkata lima pakar dan lapan pegawai perubatan dari unit forensik HKL sedang bersiap-sedia untuk melakukan bedah siasat mayat mangsa yang dihantar ke hospital berkenaan.
   
Pasukan mencari dan menyelamat yang melibatkan kira-kira 450 anggota termasuk bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam terpaksa menggunakan kren, pengusung, tali dan unit anjing K9 untuk mengesan dan mengeluarkan mangsa.
   
Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berada di lokasi kejadian untuk meninjau operasi.
   
Insiden itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk di laluan berkenaan.
   
Meskipun pihak berkuasa belum mendedahkan punca sebenar kemalangan, bagaimanapun antara mangsa yang cedera mendakwa brek bas gagal berfungsi sebelum terjunam ke dalam gaung itu seperti yang diceritakan warga Bangladesh, Ali Haider Shyed Haider, 46, yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
   
Penolong Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Soiman Jahid berkata berdasarkan pemerhatian, dengan keadaan cerun yang agak menjunam, bas boleh tergelincir ke gaung sekiranya tidak dikawal dengan sempurna.

"Keadaan fizikal jalan ini menuruni cerun. Memanglah cerun ini agak menjunam, jadi sekiranya ia tidak dikawal dengan sempurna menyebabkan bas tergelincir dan jatuh ke gaung. Ini penilaian awal daripada pihak penyelamat," katanya.
   
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di laman twitter mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa nahas bas ekspres itu.
   
Sementara Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengarahkan pihak berkuasa agar segera menubuhkan jawatankuasa petugas menyiasat kemalangan itu.
   
Kemalangan buruk lain yang pernah berlaku di kawasan Genting Highlands ialah pada Julai 1996 apabila 17 orang termasuk enam kanak-kanak terbunuh selepas bas yang dinaiki mereka terhumban kira-kira 100 meter ke dalam gaung ketika pulang daripada menyertai hari keluarga di Genting Highlands.
   
Pusat peranginan Genting Highlands merupakan destinasi percutian popular bagi rakyat tempatan dan juga pelancong dari negara seperti Singapura, India, Taiwan, Jepun dan Indonesia. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Figura terkenal dan ikon berpengaruh seperti Neelofa sepatutnya berfikir 100 kali sebelum lancar koleksi terbaru tudung dan sambutan ulang tahun kelahiran ke-29 di sebuah kelab malam.
  • SHAH ALAM - Dutch Lady Malaysia mengesahkan semua produknya selamat dan memenuhi standard keselamatan makanan Malaysia serta antarabangsa.
  • PETALING JAYA - "Industri hiburan tanah air kini menjadi sasaran sindiket dadah kerana mengangapnya sebagai pasaran menarik," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan dua inisiatif baharu untuk warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pewujudan Amanah Saham Bumiputera Zulu (ASB-Z) dan Tabung Khas bagi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat).
  • KUALA LUMPUR - Kren yang tumbang di kawasan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Dataran Ukay di sini pagi tadi, telah dialihkan sepenuhnya.