PUTRAJAYA - Sebanyak 254 kes pemerdagangan orang telah didakwa di mahkamah sehingga Jun lepas dengan 67 sabitan berjaya diperolehi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata daripada keseluruhan sabitan itu, 43 melibatkan kesalahan pemerdagangan orang dan 24 kesalahan lain berunsur pemerdagangan orang.

"Bagi tempoh Januari hingga Mei 2017, jumlah tangkapan yang direkodkan adalah sebanyak 363," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) di Perdana Putra, di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri  Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdir.

Ahmad Zahid berkata kerajaan telah mengisytiharkan tiga buah rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang di Sabah, Selangor dan Pulau Pinang untuk menjayakan kolaborasi antara kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kerajaan melihat penglibatan NGO dalam pengurusan mangsa pemerdagangan orang sebagai satu perkembangan yang positif dan perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan mangsa dapat terus terpelihara dan tanggungjawab dapat dikongsi bersama,ā€¯katanya, serta menambah ia  selaras dengan komitmen negara bagi melaksanakan pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang berkuat kuasa sepenuhnya pada November 2015.

Beliau berkata mesyuarat itu tertumpu kepada pencapaian negara dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang serta langkah-langkah penambahbaikan bagi penilaian tahun yang akan datang.

Katanya laporan JNAS yang dikeluarkan pada 27 Jun lepas meletakkan Malaysia di Tahap 2 iaitu kedudukan lebih baik berbanding Tahap 2 (Pemerhatian) pada 2016.

Ahmad Zahid berkata Malaysia berada pada kedudukan Tahap 2 (Pemerhatian) selama lapan kali kerana tidak menunjukkan peningkatan yang ketara dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang berbanding tahun sebelumnya.

Namun kedudukan negara melonjak ke Tahap 2 pada tahun ini adalah kerana telah melaksanakan usaha-usaha signifikan untuk mematuhi United Nations Convention against Transnational Organised Crime (UNTOC) dan Trafficking Victim Protection Act 2000 (TVPA), katanya.

"Ini merupakan hasil komitmen tinggi dan usaha konsisten yang ditunjukkan oleh ahli HLC MAPO dalam peningkatan siasatan, pendakwaan dan sabitan kes pemerdagangan orang termasuk beberapa penambahbaikan dalam aspek perlindungan mangsa," katanya.

Beliau berkata Malaysia yakin akan terus mengekalkan kedudukan dalam penilaian tahun mendatang, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Amerika Syarikat bagi menambah baik pencegahan, pendakwaan dan perlindungan mangsa pemerdagangan orang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.