KUALA LUMPUR - Dijanjikan peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah, itu antara modus operandi sebuah kolej swasta di utara Semenanjung bagi menarik lebih ramai melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) itu.

Namun, perkara tersebut hanya tinggal janji apabila graduan daripada IPTS itu terpaksa menanggung hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM70,000.

Bekas pelajar kolej berkenaan, Noraini Muslim, 26, mendakwa pihak pengurusan kolej telah menolak sejumlah daripada yuran pembiayaan pengajian bagi setiap semester dengan alasan kos pentadbiran antara kolej berkenaan dengan PTPTN.

“Pinjaman untuk program ijazah dan diploma saya RM70,000. Satu semester saya dapat RM8,000 dan jumlah yuran pengajian kira-kira RM3,000, sepatutnya saya dapat RM4,500.

“Tapi setiap semester, pihak kolej akan tolak RM500 atas alasan kos pentadbiran. Saya tidak tahu kenapa pihak kolej buat begitu, sepatunya tidak ada tolak lagi sebab kita pinjam daripada PTPTN,” katanya dalam sidang media selepas membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini.

Katanya, perkara itu berterusan sehingga beliau menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam dan Kewangan dua tahun lalu.

“Semasa semester pertama ijazah, saya ada tanya pihak pengurusan kenapa ada potongan, pihak kolej jawab ada penolakan atas alasan caj pentadbiran.

“Tetapi bila saya rujuk kepada PPIM, mereka kata tidak perlu caj lagi sebab itu pinjaman dengan PTPTN dan bukannya dengan pihak kolej,” katanya lagi.

Menurut mangsa, apa yang mengejutkan adalah berlaku pemotongan bantuan zakat Kerajaan Kedah yang diterima olehnya.

“Setiap tahun saya dapat bantuan zakat berjumlah RM400 untuk setiap anak-anak Kedah tapi pelik apabila pihak kolej tolak juga bantuan itu sebanyak 50 peratus. Itu duit saya.

“Pihak kolej beri alasan ada yuran tunggakan dalam penyata bayaran saya. Macam mana boleh ada tunggakan yuran lagi sedangkan wujud lebihan wang pembiayaan PTPTN daripada potongan yuran pengajian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi dan PTPTN supaya memantau IPTS yang memberi janji palsu serta mengambil wang pelajar secara halus.

“Sebab yang nak bayar hutang ini adalah pelajar itu sendiri. Kerja belum dapat untuk satu tempoh lama tapi hutang telah menimbun.

“Kadang-kadang ada sesetengah kolej ini galakkan pelajar untuk ambil kursus yang kurang permintaan kerja kerana mahukan keuntungan semata-mata. Ini satu perkara yang menggelapkan masa depan pelajar itu sendiri,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah termakan janji-janji manis pihak tidak bertanggungjawab.

“Sepatutnya pihak kolej itu juga telus dan jelas mengenai yuran atau bayaran yang melibatkan wang pelajar.

“Kita tak nak orang ambil kesempatan terhadap pendidikan kerana ia satu isu sensitif,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - [VIDEO] Seorang lelaki dijatuhkan hukuman setahun penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini, kerana menipu berkaitan pengurusan rumah flat.
  • KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyiasat dakwaan seorang bekas pelajar kolej di utara tanah air bahawa kolejnya telah mengenakan caj tersembunyi dalam yuran ke atas peminjam PTPTN.
  • KUALA LUMPUR - Lelaki Nigeria dan teman wanitanya dicekup di sebuah pangsapuri di Rawang, dekat sini, selepas dipercayai memperdayakan seorang ahli perniagaan hingga rugi ribuan ringgit.
  • MUADZAM SHAH - Kira-kira 48 peneroka termasuk ahli keluarga mereka dari Felda Keratong, di sini, membuat laporan polis setelah berasa tertipu dengan pakej umrah dan ziarah yang dikendalikan oleh sebuah syarikat di sini.