SHAH ALAM - Perhimpunan yang akan diadakan pada malam 31 Disember ini, bukan bertujuan mengguling kerajaan kata, Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Muhamad Azan Safar.

Beliau berkata, agenda utama mereka adalah memprotes kenaikan mendadak kos sara hidup yang akan dirasai rakyat menjelang tahun 2014.

Menurutnya, selain itu perhimpunan ini juga bertujuan bagi mengingatkan kerajaan pada janji mereka dalam manifesto PRU13 yang lalu, serta menentang ketirisan dan penyelewengan dalam urus takbir kerajaan.

“Himpunan ini untuk rakyat suarakan protes mereka bukan gulingkan kerajaan. Kami menjunjung demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang.

“Tiada yang mengetuai himpunan ini, mereka yang rasa terkesan boleh sama-sama turun nyatakan bantahan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Azan, pihaknya juga difahamkan ada ahli politik yang akan turut menyertai perhimpunan itu bagaimanapun, beliau berharap perhimpunan itu tidak dicemari dengan ceramah politik.

“Kami tidak kisah ada penyertaan daripada ahli politik, tetapi kami harap mereka tidak mengambil kesempatan daripada agenda utama kami ini.

“Kami sudah tekankan bahawa tiada bendera parti politik dibenarkan dalam perhimpunan itu,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya telah memaklumkan mengenai perhimpunan itu kepada pihak berkuasa, beliau berkata, tiada sebarang permohonan dibuat kerana tiada yang mengetuai perhimpunan ini.

“Siapa yang akan buat surat? Kami tiada ketua, perhimpunan ini perhimpunan rakyat, rakyat turun nyatakan rasa tidak puas hati.

“Kami harapkan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kerjasama kepada kami,” kata Muhamad Azan.

Pihaknya turut mengingatkan, peserta perhimpunan untuk tidak melakukan sebarang provokasi bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Peserta yang menyertai Himpunan Peduli Rakyat Bantah Kenaikan Kos Sara Hidup (Turun 3.0) di sini, hari ini didakwa bukan Bughah.
  • KUALA LUMPUR - Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin dan dua lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap pertuduhan menganjurkan satu perhimpunan membantah kenaikan harga barang dan GST, awal tahun ini.
  • SHAH ALAM - Pembangkang akan terus beri tekanan kepada kerajaan termasuk turun ke jalanan bagi membela nasib rakyat berhubung...
  • KUALA LUMPUR - Tiga badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung perhimpunan yang didakwa bertujuan untuk menggulingkan...
  • KUALA LUMPUR - Polis akan mengumpul bukti dan keterangan saksi berhubung perhimpunan yang mengganggu sambutan ambang tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka di sini, malam tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.