PETALING JAYA - Seorang eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9 ditemui mati di kediamannya di Apartment Saujana, Damansara Damai semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata mayat Syaleza Jaffar, 31, ditemui di dalam sebuah daripada bilik tidur rumah itu oleh suaminya, Norazman Bashah, pada kira-kira 7 malam.

"Mayat mangsa ditemui di bilik kedua rumah mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati tidak ada unsur jenayah dalam kejadian itu dan buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sementara itu, bapa mangsa Jaffar Bakri, 60, berkata beliau hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anak sulungnya.

"Anak saya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh suami Syaleza kira-kira 9.30 malam tadi," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat, Hospital Sungai Buloh di sini.

Jaffar berkata Syaleza menghubungi ibunya pagi semalam dan memberitahu dirinya tidak sihat.

"Selalunya dia akan berbual panjang tetapi semalam perbualannya tidak lama," katanya yang tinggal di Segamat, Johor.

Beliau berkata Syazleza merupakan anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - "Industri hiburan tanah air kini menjadi sasaran sindiket dadah kerana mengangapnya sebagai pasaran menarik," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.
  • PETALING JAYA - Seorang bekas pengarah syarikat pelaburan emas bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menerima deposit haram daripada dua pelabur berjumlah lebih RM500,000 empat tahun lalu.
  • PETALING JAYA - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas dua pertuduhan membunuh dua beradik di satu majlis hari jadi, tiga minggu lalu.
  • PETALING JAYA - "Sedih sangat sebab hari ni adalah hari pertama saya bawa kereta ke pejabat, tak sangka jadi begini pula," kata kerani bahagian pengeluaran KWSP, Mohd Riduan Mat Rosli, 29, ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
  • PETALING JAYA - Laporan penuh siasatan kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing di sini dijangka siap dalam tempoh seminggu.