KUALA TERENGGANU - Dua anggota polis trafik Balai Polis Dungun maut selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah lori, dalam kejadian di Kilometer 139, Jalan Kuala Terengganu –Kuantan.

Kejadian kira-kira jam 2.55 petang itu, mangsa, Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54,dan Koperal Suresh A/L Ltchang, 36, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, kedua-dua mangsa merupakan peserta konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) menunggang jarak jauh motosikal berat daripada Mersing ke Kuala Terengganu.

“Ketika rombongan konvoi tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba sebuah lori jenis KIA telah memasuki laluan konvoi dipercayai kerana hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Dalam keadaaan kelam kabut itu, kedua-dua mangsa dipercayai gagal mengelak sebelum dirempuh oleh kenderaan tersebut dan mereka dipercayai tercampak ke bahu jalan.

“Mereka bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelasnya, punca kejadian masih dalam siasatan.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.