Dua lelaki ditahan halang tugas penjawat awam

Anggota dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Ampang Jaya membuat sekatan jalan raya di Jalan Pandan Indah di sini, pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Azam
Anggota dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Ampang Jaya membuat sekatan jalan raya di Jalan Pandan Indah di sini, pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Azam
A
A
A

AMPANG - Polis menahan dua lelaki disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam sekatan jalan raya di Jalan Pandan Indah, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, anggota dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Ampang Jaya menahan dua penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan Suzuki Axelo, pada jam 11.45 pagi.

"Semasa anggota bertugas menghampiri motosikal jenis Yamaha Y15, tiba-tiba suspek memulas minyak untuk melarikan diri dari sekatan lalu melanggar anggota berkenaan sehingga menyebabkan penunggang itu terbabas ke bahu jalan dan terjatuh.

"Seorang lagi suspek yang menunggang motosikal Suzuki Axelo ditahan kerana tidak memberi kerjasama kepada anggota polis untuk membuat pemeriksaan badan serta motosikalnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Azam berkata, dua lelaki tempatan berusia 27 dan 38 tahun itu dibawa ke Balai Polis BSPT Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.

"Semakan lanjut mendapati lesen kenderaan motor (LKM) kedua-dua penunggang motosikal tamat tempoh dan tindakan saman telah dikeluarkan kepada mereka.

"Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua lelaki itu negatif dadah," katanya.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai 12 rekod jenayah lampau manakala suspek kedua pula mempunyai dua rekod lampau.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua lelaki itu direman tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!