• Puncak Setiawangsa bergegar Kediaman yang disewa seorang warga Iraq yang dikenali sebagai Maulana hampir roboh sepenuhnya.
1 /

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijangka mengeluarkan pada Jun depan peta bencana yang mengenal pasti kawasan tanah tinggi di Lembah Klang yang berisiko untuk didiami.  

Menyatakan demikian, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya telah meminta Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) menjalankan kajian mengenainya mulai Januari depan.

"Kita akan jalankan kajian dengan segera sebagai langkah keselamatan bagi kediaman yang sudah didiami mahupun yang bakal dibina (di kawasan tanah tinggi)," katanya kepada pemberita dekat lokasi kejadian tanah runtuh di Puncak Setiawangsa di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tinjauan ke kawasan kejadian yang berlaku pada 10 malam, Jumaat lepas.

Mengulas lanjut, Ahmad Phesal berkata, peta bencana itu dapat menjadi panduan kepada pemaju perumahan dan penduduk bagi membolehkan mereka mengambil langkah keselamatan tertentu.

Ahmad Phesal menafikan dakwaan kononnya pemaju di sekitar Bukit Setiawangsa dan Puncak Setiawangsa membina kediaman tidak mengikut spesifikasi.    

Beliau berkata, syarikat berkenaan telah mengikuti segala piawaian pembinaan dan keselamatan ketika membangunkan kawasan perumahan itu lebih 20 tahun lalu.  

"Spesifikasi ini berubah dari semasa ke semasa dan apabila berlaku kejadian bencana alam seperti ini, kita tidak boleh menunding jari kepada satu pihak kerana insiden seperti ini tidak dapat dijangka.   

"Namun Bahagian Siasatan Cerun, Jabatan Kerja Raya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca utama kejadian berdasarkan keadaan tanah dan struktur pembinaan oleh pemaju," katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pemaju diarah merobohkan segera sebuah banglo lereng bukit yang terjejas teruk dalam kejadian tanah runtuh itu. - Bernama