SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengarahkan siasatan dibuat terhadap Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin kerana didakwa mengkritik institusi diraja dalam ceramahnya di sebuah masjid di sini, Ahad lepas.

Pengerusi Mais, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk melakukan siasatan itu mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Mais menegaskan bahawa  semua penceramah agama di dalam Selangor hendaklah mematuhi segala peruntukan dalam Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Ini termasuklah tidak menyampaikan ceramah agama yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan atau boleh menunjukkan kebiadaban terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan, juga terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa agama Islam negeri atau yang boleh mewujudkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jais keluar arahan gantung ceramah Zamihan]

Mohamad Adzib berkata pendapat Zamihan dalam ceramah tersebut tidak menggambarkan pendirian Mais atau Jais berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, beliau  mengarahkan pihak pengurusan masjid dan surau di Selangor untuk memantau setiap aktiviti pengajaran agama Islam yang dilaksanakan di masjid dan surau supaya selaras dengan Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

“Mais turut mengingatkan bahawa pihak pengurusan semua masjid dan surau dalam Selangor bertanggungjawab memastikan setiap penceramah yang dijemput mempunyai tauliah mengajar dan mematuhi Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008,” katanya.

Zamihan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur selepas memberi keterangan pada 3.50 petang Rabu berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman.

Beliau ditahan reman selama dua hari bermula semalam. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 30 November untuk pengurusan kes saman difailkan seorang pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips terhadap penceramah bebas, Zamihan Mat Zin atas dakwaan memuat naik posting bergambar yang memfitnahnya di dalam Facebook, November tahun lepas.
  • PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam sebulat suara menolak rayuan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mendapati beliau bersalah dalam membuat kenyataan fitnah ke atas Syria Care dengan kos sebanyak RM10,000.
  • PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan terhadap pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Dr Zamihan Mat Zin berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman.
  • KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin yang direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.