PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah memeriksa lebih 200 pusat tahfiz di seluruh negara, susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, 14 September lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, pihaknya melakukan perkara tersebut bagi memastikan semua pusat tahfiz berada dalam aspek keselamatan yang terbaik.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 35 peratus daripada jumlah pusat tahfiz sudah diperiksa tidak mengikut spesifikasi keselamatan yang telah ditetapkan oleh bomba.

“Oleh itu, kita sudah mengeluarkan 144 Notis Penghapusan Bahaya Kebakaran kepada pusat tahfiz ini supaya mereka menambah baik aspek keselamatan premis dan mereka diberi masa untuk berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau, semua premis terbabit akan diperiksa sekali lagi oleh anggotanya untuk melihat sama ada mereka sudah melakukan penambahbaikan atau sebaliknya.

Katanya, jika pusat tahfiz itu gagal menambah baik aspek keselamatan, mereka boleh didakwa di mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd berkata, sebanyak 236 pasukan Skuad Bomba Pondok telah ditubuhkan di seluruh negara sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kebakaran di institusi sekolah agama.

“Sebanyak 3,500 orang telah menganggotai pasukan Skuad Bomba Pondok. Sebenarnya cadangan pusat tahfiz untuk mempunyai bomba pondok sudah lama, tetapi perkara ini baru dilaksanakan oleh beberapa pusat itu.

“Saya berharap lebih banyak pusat tahfiz untuk menubuhkan pasukan ini,” ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Dua orang mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini yang sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijangka dibenarkan pulang esok.
  • KUALA LUMPUR - Bangunan baharu Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung akan dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang mendapat kelulusan pihak Bomba dan turut mempunyai 24 kamera litar tertutup (CCTV).
  • KUALA LUMPUR - Selepas dua minggu tragedi kebakaran menyayat hati di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah yang mengorbankan nyawa 21 pelajar dan dua guru, hari ini lima remaja dan seorang kanak-kanak dihadapkan ke muka pengadilan.
  • KUALA LUMPUR - Dua remaja dihadapkan di Mahkamah Majistret sebentar tadi atas tuduhan membunuh 23 individu dalam kebakaran pusat tahfiz Quran Ittifaqiyah.