KUALA KETIL - Bendahari Pemuda Pas Selangor yang juga anak kepada seorang mangsa peristiwa Memali, Zuhdi Md Piah kecewa tulisannya di Facebook, Memali: Mahathir Jangan Mudah Lupa, diputar belit.

Katanya, hanya kerana menolak permintaan ditemu ramah, pihak terbabit bertindak menyiarkan hanya sebahagian tulisannya di Facebook, sebelum ditularkan sebuah parti politik untuk memburuk-burukkannya.

"Selepas viral tulisan saya di Facebook, pihak tersebut ada hubungi untuk bertemu ramah, tapi saya nyatakan tidak bersedia.

"Saya juga tak mahu kenyataan saya diambil hanya sebahagian, jika mahu, ambil sepenuhnya apa yang di tulis," katanya ketika ditemui dalam Ceramah Isu Memali: Luka Lama Bukan Luka Kecil, malam tadi.

Zuhdi  berkata, kenyataan yang ditular itu menggambarkan seolah-olah beliau dapat mengetahui apa yang berlaku sedangkan baru berusia setahun ketika itu.

"Dalam kenyataan penuh itu, saya nyatakan semua yang ditulis adalah hasil penceritaan ibu dan abang yang terlibat dalam peristiwa itu.

"Waktu itu ayah ditembak 14 peluru dan selepas mengeluarkan semua peluru itu dia ditahan dalam ISA. Saya ada sebut bagaimana ibu ceritakan saya menangis ketika dibawa melawat ayah dalam tahanan," katanya.

Beliau berkata, kenyataannya itu boleh disahkan oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Dalam pada itu, Zuhdi berkata, beliau sedia ditemu ramah mana-mana media dengan syarat ia dibuat secara siaran langsung.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.