KUALA LUMPUR - Lelaki Nigeria dan teman wanitanya dicekup di sebuah pangsapuri di Rawang, dekat sini, selepas dipercayai memperdayakan seorang ahli perniagaan hingga rugi ribuan ringgit.

Tangkapan dibuat kira-kira jam 11 malam, kelmarin, hasil laporan dan risikan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Wangsa Maju.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mangsa seorang wanita dikatakan telah menerima panggilan daripada individu dikenali sebagai Hana yang mendakwa bungkusan milik mangsa ini telah diterima.

Menurutnya, dalam kejadian 18 Disember itu, 'Hana' mengarahkan mangsa berusia 44 tahun ini membuat bayaran cas pengistiharan berjumlah RM6,000.

"Mangsa kemudian telah memindahkan wang melalui akaun bank.

"Setelah itu, mangsa juga telah membuat bayaran RM2,550 selepas diarah kononnya sebagai bayaran GST," katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun curiga kerana bungkusan barangnya masih belum sampai tetapi masih diminta untuk memasukkan wang lagi sebanyak RM50,000.00. Mangsa enggan membuat pembayaran selepas merasakan dirinya tertipu.

Tambah Mohamad Roy, bertindak atas maklumat, seorang lelaki Nigeria dan seorang wanita tempatan telah ditahan.

"Pemeriksaan di kediaman suspek telah merampas pelbagai telefon bimbit dan komputer riba.

"Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - [VIDEO] Seorang lelaki dijatuhkan hukuman setahun penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini, kerana menipu berkaitan pengurusan rumah flat.
  • KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyiasat dakwaan seorang bekas pelajar kolej di utara tanah air bahawa kolejnya telah mengenakan caj tersembunyi dalam yuran ke atas peminjam PTPTN.
  • KUALA LUMPUR - Dijanjikan peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah, itu antara modus operandi sebuah kolej swasta di utara Semenanjung bagi menarik lebih ramai melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) itu.
  • MUADZAM SHAH - Kira-kira 48 peneroka termasuk ahli keluarga mereka dari Felda Keratong, di sini, membuat laporan polis setelah berasa tertipu dengan pakej umrah dan ziarah yang dikendalikan oleh sebuah syarikat di sini.