SEREMBAN – PKR negeri ini yakin dapat mempertahankan kerusi P132 Port Dickson yang dikosongkan untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun berkata, berdasarkan sokongan yang diberi oleh masyarakat di Port Dickson pada PRU14 lalu sangat luar biasa dan presiden parti itu juga akan menerima sokongan yang sama.

Menurutnya, Anwar yang dikenali sebagai tokoh reformasi mampu memberi saingan hebat kepada mana-mana pihak yang akan bertanding di Parlimen Port Dickson itu nanti.

“Ini merupakan satu penghargaan kepada Negeri Sembilan, kita menyambut baik dan mengalu-alukan keputusan Anwar untuk bertanding di kerusi Port Dickson, apa yang diputuskan itu adalah satu keputusan yang tepat.

“Saya yakin Anwar akan menang, dan jika itu berlaku beliau adalah ahli parlimen pertama dari Negeri Sembilan yang menjadi perdana menteri.

“Kita akan berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan Anwar, sekali gus membolehkan beliau menjadi PM ke lapan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan segera untuk membentuk jawatankuasa pilihan raya bagi memastikan segala persiapan dan berkempen berjalan dengan lancar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Perlantikkan Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Klana Resort Seremban tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Ismail Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Abd Malik.

Dalam pada itu, Aminuddin turut berterima kasih kepada bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Daniyal Balagopal Abdullah, yang melakukan pengorbanan terbesar beliau untuk parti.

Katanya, Daniyal merupakan seorang wakil rakyat yang sangat mesra dan sentiasa turun padang bertemu masyarakat.