KULIM - Pemilihan semula sayap Wanita Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Bekas ketua Wanita Umno Kulim-Bandar Baharu, Datuk NorSabrina Mohd Noor berkata proses pengundian semula untuk melantik jawatankuasa sayap itu akan dilakukan sebelum bermulanya Perhimpunan Agung Umno tidak lama lagi.

Menurutnya, perkara itu juga telah dirujuk kepada Setiausaha Agung Umno yang baru dilantik juga bersetuju supaya ia dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Berkenaan dengan mesyuarat wanita sepatutnya Wanita Umno Bahagian perlu dibuat pengundian semula.

“Saya juga ada bertanya kepada presiden bagaimana status kami di Kulim, saya juga merujuk kepada pejabat Umno Malaysia yang mana memang akan dibuat pengundian semula setelah setiausaha ini dilantik.

“Jadi Insya-ALLAH dalam masa terdekat ini, hujung bulan atau sebelum perhimpunan nanti kami boleh selesaikan pengundian semula,” katanya.

Beliau juga berharap supaya ahli Umno di situ memberi peluang dan tempat dalam barisan kepimpinan sayap parti ini.

“Saya masih lagi berharap untuk saya diberikan tempat dalam pasukan Wanita Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu.

“Kerana janji saya sebagai wakil rakyat biasa di Bandar Baharu ketika ini dan hanya kami bertiga di Kedah saya akan bersama-sama memperkuatkan, memperkasakan dan menyatukan semula ahli terutama dalam sayap ini di sini,” katanya.

Sebelum ini, NorSabrina telah membuat bantahan tentang keputusan pemilihan sayap parti itu pada 23 Jun lalu kerana mendakwa berlaku lebihan kertas undi daripada perwakilan yang hadir.

Perkara itu turut diakui Pengerusi Pemilihan Bilik Mengundi, Abd Razak Hassan yang menyatakan terdapat lebihan sembilan kertas undi selepas pengiraan dan pengumuman dibuat.

Bagaimanapun, Ketua Wanita Umno Kulim-Bandar Baharu, Nazira Abd Rahim berkata perkara itu tidak berlaku ia hanya melibatkan masalah teknikal sahaja.

Malah, Nazira juga mendakwa dirinya telah menjadi mangsa kepada kelemahan pengurusan Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu ketika pemilihan itu dijalankan.