SHAH ALAM - Umno perlu berbincang dengan MCA dan MIC berhubung hasrat parti untuk bertanding atas nama sendiri pada PRK Sungai Kandis, seperti yang diusulkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, ini kerana adanya keperluan Umno untuk berbuat demikian memandangkan parti itu masih lagi sebahagian komponen parti dalam BN, yang ketika ini dianggotai oleh tiga parti berkenaan.

Katanya, Umno tidak boleh bertindak sendirian dalam menghadapi pilihan raya tanpa perbincangan itu.

"Saya fikir ada keperluan dulu untuk (Umno) berbincang dengan parti komponen BN. Walaupun ada tiga parti (dalam BN), iaitu MIC, MCA dan Umno sahaja pada kali ini, tetapi orang sudah kenal BN itu dengan ketiga-tiga parti, cuma bolehkah dua pihak lagi berkompromi dalam hal ini kerana kita tahu bahawa Umno adalah sebahagian dpd komponen BN.

"Jadi perlu ada perundingan dalam hal itu dengan parti komponen," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang usul Mohamad agar Umno bertanding atas nama sendiri pada PRK Sungai Kandis.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Sungai Kandis: Bertanding atas nama Umno bukan BN]

Md Shukri berkata, PRK Sungai Kandis dilihat menjadi kayu ukur untuk Umno menilai semula penerimaan rakyat terhadap parti Melayu tertua itu, selepas gagal mempertahankan tampuk pemerintahan negara pada PRU14.

Katanya, Selangor memerlukan blok pembangkang yang kuat untuk menyuarakan pandangan rakyat.

"Tiga kerusi Dun yang dimenangi BN dalam PRU14 lalu dilihat tidak mampu memainkan peranan penting dalam Dun bagi menyuarakan hasrat rakyat.

"Kerajaan Harapan terlalu dominan di negeri itu, jadi perlunya pembangkang yang kuat dalam melakukan semak dan imbang untuk menyuarakan pandangan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Md Shukri berkata, cadangan Umno untuk mengadakan pemilihan tahunan di peringkat cawangan perlu diraikan.

"Setiap tahun cabarannya berbeza. Munhkin dengan cara itu, proses peralihan kepimpinan boleh disegerakan.

"Maksudnya kalau perlu (pemimpin itu) dikekalkan, kekalkan. Sekiranya tidak, mungkin boleh cari pemimpin baru. Jadi ini mungkin boleh menjadi salah satu daripada perubahan pola pimpinan parti," katanya.