SHAH ALAM - Pengerusi BN Negeri Sembilan yang juga Adun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan kepada semua pihak untuk menunggu keputusan Majlis Tertinggi BN untuk memutuskan siapa yang layak bertanding di Parlimen Port Dickson.

Mohamad berkata, BN akan meneliti dan berbincang perkara berkenaan apabila pengumuman (pengosongan kerusi) dibuat secara rasminya nanti.

Menurutnya, sama ada BN akan meletakkan calon dalam PRK tersebut adalah terpulang kepada keputusan Majlis Tertinggi BN untuk memutuskannya.

 “Jika BN bersetuju untuk meletakkan calon, pandangan perhubungan negeri dan bahagian akan di ambil kira, sebelum memutuskan siapa calon yang layak dan kredibiliti untuk mewakili BN di PRK tersebut.

 “Pada pendapat peribadi saya, sebaiknya diberi peluang kepada anak tempatan untuk dijadikan calon mewakili BN dalam PRK Parlimen PD,” katanya, hari ini.

Mohamad berkata, beliau akan menumpukan perhatiannya untuk PRK Dun Rantau, jika mahkamah memutuskan perlu ada PRK di Dun Rantau.

[ ARTIKEL BERKAITAN:  Port Dickson untuk Anwar ]

Sidang media di Ibu Pejabat PKR tadi telah merungkai teka-teki seluruh rakyat Malaysia apabila hari ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen P132 Port Dickson.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah secara sukarela mengosongkan kerusinya buat Anwar bagi membolehkan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri ke lapan kelak.