SHAH ALAM - Umat Islam dinasihatkan agar tidak melihat agenda Islam dari sisi pandang yang kecil seterusnya tanpa sedar telah mengamalkan politik sekular dengan menjuzuk Islam dalam hal-hal tertentu sahaja.

Penasihat Umum Parti Amanah Negara, Ahmad Awang berkata, beliau kesal dengan pihak yang cuba membangkitkan isu agama mendakwa tawaran 10 hari selepas Pakatan Harapan tidak langsung memberikan penekanan kepada Islam.

“Tawaran 10 hari yang dikemukan tersebut jelas selari dengan prinsip politik yang dibawa Amanah iaitu, politik rahmah.

“Politik ini berdiri atas maksud Maqasid Syariah, meliputi juzuk keadilan hak dan ketelusan politik serta membawa keuntungan dan kebaikan kepada rakyat kebanyakkannya,”katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Pakatan Harapan mengumumkan mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara yang dirosakkan oleh pentadbiran pimpinan BN dan Umno melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

[ARTIKEl BERKAITAN: Gabungan Anwar, Mahathir gempur Putrajaya]

Pakatan Harapan dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi PRU14 dalam membentuk kerajaan.

Sejurus mendapat mandat rakyat dalam PRU14, dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut iaitu menghapuskan GST, menstabilkan harga petrol, memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat, memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh, memerangi rasuah hingga ke akar umbi, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja Skandal 1MDB dan memulihkan Felda.

Tambah Ahmad Awang lagi, sikap keterbukaan perlu ada dalam memperjuangkan pemikiran politik Islam.

“Pentadbiran Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemashalatan rakyat, bukan hanya kepentingan diri atau kelompok tertentu sahaja hingga mengetepikan prinsip kepentingan umum.

“Justeru, tawaran 100 hari tersebut jelas menepati matlamat menjaga maslahah rakyat dan keadilan tidak hanya pada Islam tetapi semua agama.

“Tidak perlu meletakkan istilah arab untuk menunjukkan ia agenda Islam, cukuplah kita sedar matlamatnya, demi kepentingan Islam,” tambahnya lagi.
 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.