KUALA TERENGGANU - Politik wang dalam PKR perlu diselesaikan segera bagi menjaga nama baik parti sekiranya ia benar-benar wujud seperti yang didakwa berlaku dalam pemilihan PKR di beberapa negeri.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, tindakan tegas perlu diambil untuk parti mengekalkan kepercayaan umum kepada parti yang dibina selama 20 tahun itu.

Menurutnya, beliau sendiri terkejut dan sedih apabila timbul dakwaan berhubung politik wang kerana PKR bermula dalam keadaan serba kekurangan tetapi tetap bertahan dan menguruskan parti dengan baik tanpa ada unsur negatif terutama politik wang.

"Saya agak terkejut dan sedih kerana saya telah lama (bersama parti) sejak menjadi Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, kemudiannya Adun Bandar, Kuala Terengganu mewakili parti, duit tak ada, nak uruskan parti pun serba kekurangan apa lagi untuk politik dan ia (politik wang) tidak munasabah.

"Ada baiknya jika berlaku dakwaan dan sebagainya, ia akan dilihat penting oleh parti untuk membersihkan imej PKR kepada masyarakat umum,” katanya kepada Sinar Harian.

Azan turut mengakui rasa bimbang sejak kebelakangan ini apabila melihat keghairahan kumpulan baharu yang masuk ke dalam parti khasnya selepas PH menang.

"Perkara ini perlu dibincang, bimbang ada perlakuan-perlakuan yang tidak selaras dengan prinsip parti malah amalan budaya politik dalam PKR sukar berlaku perkara-perkara macam ini (politik wang),” katanya.

Tambah Azan, ahli perlu mempertahankan integriti PKR terutama di negeri-negeri tidak menang seperti Terengganu dan Pahang.

Dalam masa sama, Azan turut menasihatkan ahli di semua cabang di Terengganu supaya mempertahankan integriti dan jangan sesekali terlibat dengan politik wang kerana PKR sudah dibina 20 tahun dulu.

"Terengganu sudah selesai memilih cabang masing-masing dan pada hari itu ia berjalan dengan baik tanpa ada sebarang perkara negatif, jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ismail berkata dalam satu ucapannya, budaya politik wang dilihat semakin membimbangkan dalam pemilihan PKR 2018.

Ucapan itu mendapat respon balas daripada Ahli Parlimen Pandan, Selangor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa wujudnya politik wang dan berharap kes tersebut dipantau agar tangkapan dapat dilakukan.