SHAH ALAM - Perbahasan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) tidak wajar dihentikan atas apa juga alasan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas menggesa perbahasan RUU itu dibenarkan dan diteruskan oleh Speaker Parlimen pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

“Perbahasan harus diteruskan sehingga akhir mengikut prosedurnya walaupun tidak boleh disempurnakan pada sesi parlimen kali ini.

“Ia seumpama perbicaraan kes mahkamah yang telah bermula tidak akan dihentikan sehinggalah berakhir dengan keputusan oleh hakim. Bezanya parlimen akan ditentukan melalui pengundian ahli parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

RUU 355 dibentangkan Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 6 April lalu bagi memperkasakan mahkamah syariah.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan perbahasan RUU 355 ditangguh ke sidang Dewan Rakyat seterusnya.

Baru-baru ini, Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilaporkan berkata, Pas berkemungkinan membawa RUU 355 ke Parlimen hanya selepas PRU14.

Mahfodz berkata, RUU355 terpaksa ditangguhkan kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya Umno dan ahli parlimen beragama Islam yang lain.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, amat penting untuk Akta 355 dipinda segera kerana ia akan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah yang hanya terpakai kepada orang Islam dan memiliki bidang kuasa yang amat rendah ketika ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.