SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan ditadbir berlandaskan model pentadbiran dan kepimpinan Islam jika Pas berjaya menawan negeri itu pada PRU14 nanti.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu yakin model kepimpinan Islam adalah polisi yang mampu memberikan manfaat secara menyeluruh bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada golongan bukan Islam.

“Selangor perlu menjadi sebuah model pentadbiran contoh dengan dasar kepimpinan Islam, satu penyelesaian yang menyeluruh.

“Ini tidak bermaksud dengan kepimpinan Islam kita akan pinggirkan mereka yang bukan Islam dan jika kita membelakangkan orang bukan Islam dalam pentadbiran itu tak betul dan tak adil. Berdosa jika tak berlaku adil kepada bukan Islam," katanya.

Menurutnya, orang bukan Islam tetap ada tempat dalam kepimpinan Islam kerana Islam mempunyai konsep peneriman kepelbagaian kaum serta membawa mesej yang mendahulukan kedamaian.

Beliau berkata, tiada masalah pemimpin bukan Islam berada dalam organisasi pimpinan kerajaan Islam selagi dasar dan polisi pentadbiran berteraskan agama tersebut.

Selain itu, Abdul Hadi turut menyeru rakyat dan pengundi di Selangor agar memilih calon dan parti yang membawa prinsip menegakkan Islam pada PRU14 nanti.

“Orang Selangor juga perlu menjadi contoh dan pilih calon Islam atau yang membawa perjuangan untuk menegakkan Islam iaitu menjadi agama rasmi di negara kita.

“Kepada pasukan jentera pilihan raya Pas khususnya di Selangor, perlu bekerja dan memberikan sepenuh kemampuan yang ada menjelang PRU14 ini. Teruskan selagi mampu dan selebihnya ALLAH akan bantu kita,” katanya.