KUALA TERENGGANU - Usul kerjasama Pas dan Umno oleh Pemuda Pas diluluskan dengan pindaan kerana terdapat perkara yang sudah digariskan parti.

Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, antaranya ialah isu taawun siyasi dengan mana-mana parti politik.

"Ini termasuklah parti Umno dalam perkara berkaitan Islam, Melayu dan rakyat secara umumnya. Jadi bila perkara itu sudah ada, tak perlu lagi kita wujudkannya (dalam usul).

"Sebab itu kita pinda dan kekalkan dalam usul tersebut untuk kita perkasakan Gagasan Sejahtera dari sudut mengisi kemenangan khususnya di Kelantan dan Terengganu," katanya dalam sidang media selepas Muktamar Pemuda Pas ke-59, hari ini.

Terdahulu, Muktamar Pemuda Pas riuh apabila usul berkaitan kerjasama parti itu dengan Umno dibangkitkan Pemuda Pas Kota Raja, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Muktamar riuh dek usul Pas-Umno]

Menurut beliau, setakat ini tidak ada hala tuju yang diletakkan oleh parti atas nama tahaluf.

"Apa yang kita persetujui ialah taawun iaitu tolong menolong termasuklah dari sudut kerjasama berkait dengan kepentingan Melayu dan rakyat. Perkara ini sebenarnya sudah kita laksanakan sebelum ini.

"Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri keempat, kita bertaawun dengan beliau dalam perkara kepentingan negara usul berkaitan dengan penindasan Islam dan Bosnia. Sekarang perkara sama juga berlaku," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, pindaan usul adalah perkara biasa yang berlaku sebelum ia diluluskan.

"Kita tidak menolak kesemua usul tersebut. Kita hanya pinda usul tersebut supaya ia akan dilaksanakan oleh kepimpinan," katanya.