PETALING JAYA - Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi adalah antara inisiatif Pemuda Pakatan Harapan dalam memberi penerangan kepada rakyat mengenai keadaan sebenar dihadapi negara.

Pengarah jawatankuasa teknikalnya, Faiz Fadzil berkata, himpunan ini mengharapkan penyertaan seramai mungkin rakyat Malaysia kerana ia merupakan satu solidariti terbesar dianjurkan Pakatan Harapan.

“Pada himpunan tersebut, kita akan adakan pameran tentang gerak kerja Pakatan Harapan di samping memberi penerangan kepada orang ramai apakah yang dimaksudkan dengan kleptokrasi.

“Walaupun istilah itu telah digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa, kami percaya masih ramai rakyat di negara ini masih belum memahaminya. Jadi inilah inisiatif yang kami lakukan supaya rakyat lebih menyedari situasi negara sekarang,” katanya pada sidang media Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi, hai ini.

Himpunan yang dijangkakan bakal mengumpulkan seramai 100,000 pengunjung ini akan diadakan pada 14 Oktober bermula jam 4 petang sehingga 12 tengah malam bertempat di Padang Timur, Dataran Petaling Jaya.

Faiz yang juga Timbalan Ketua Pemuda Amanah berkata, himpunan tersebut akan dijalankan secara aman dan sesuai untuk dihadiri oleh seisi keluarga.

"Himpunan ini lebih bersifat karnival bagi menunjukkan kesepakatan rakyat Malaysia dalam menyatakan tentangan terhadap apa yang berlaku kepada negara. Ia satu perhimpunan aman yang mewujudkan semangat patriotik dan pada masa sama berjalan dalam keadaan selamat untuk orang ramai datang bersama keluarga.

“Acara yang kita susun sepanjang himpunan ini juga sesuai untuk semua peringkat umur seperti program ceramah, persembahan kebudayaan dan kesenian serta permainan yang bersesuaian dengan kanak-kanak. Bagi memastikan jaminan keselamatan, kita juga sediakan unit keselamatan dan perubatan untuk pastikan himpunan berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin menyifatkan penganjuran himpunan itu sebagai bukti bahawa Pakatan Harapan tiada masalah untuk saling bekerjasama menuju PRU14 sekali gus menggantikan kerajaan sedia ada.

“Ini bukti kukuh dan sekali gus menafikan dakwaan yang mengatakan empat parti dalam Pakatan Harapan tidak memiliki kesefahaman.

“Selain kita memberikan pencerahan kepada rakyat, himpunan ini juga satu bukti bahawa Pakatan Harapan tidak ada masalah untuk bekerjasama,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDARAYA MELAKA - Pakatan Harapan Melaka menyasar untuk merampas lapan kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum lalu, selain mempertahankan lapan yang kini dimiliki pembangkang dalam usaha menumbangkan kerajaan sedia ada.
  • SHAH ALAM - Perkembangan terbaru situasi politik masa kini, dengan pelbagai isu struktural dan dalaman dalam Pakatan Harapan (Harapan) serta tindakan Pas tidak mahu menyertai mereka, peluang Harapan untuk tewas di Selangor dilihat amat besar.
  • SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan kini berada dalam keadaan tergugat ketika BN sedang melakukan 'serangan' berpanjangan sejak akhir-akhir ini.
  • KUALA TERENGGANU - Beberapa wakil rakyat khususnya dari BN dan Pas yang tidak sehaluan dengan parti masing-masing dijangka akan menyertai Pakatan Harapan menjelang PRU14.
  • SHAH ALAM - Menjelang PRU14 tidak lama lagi, sama ada BN mahupun Pakatan Harapan (Harapan), masing-masing berharap akan dapat menambah ‘koleksi’ negeri untuk pentadbiran mereka.