SERDANG – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mendakwa sekarang adalah waktu terbaik untuk mengadakan PRU14.

Katanya, pihaknya yakin jika pilihan raya diadakan ketika ini, ia akan memberi kemenangan besar kepada Umno dan BN.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, ramai bertanya kepadanya tarikh jangkaan pilihan raya akan diadakan.

“Bila saya turun ke mana-mana program, ramai yang tanya tarikh pilihan raya, saya jawab manalah saya tahu. Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak tak ada bisik apa pun di Kabinet.

“Tapi kalau tanya saya bila pilihan raya perlu diadakan, saya rasa ramai setuju waktu paling sesuai adalah sekarang juga,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Puchong kali ke-14 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), hari ini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Puchong, Datuk Dr Mohamad Satim Diman.

Ahmad Shabery berkata, beliau tidak pasti bagaimana ‘perkiraan’ dibuat Najib dalam menentukan sama ada pilihan raya akan diadakan dalam tempoh terdekat atau sebaliknya.

“Mungkin PM tengok kekuatan jentera di peringkat bawah…mungkin juga dia tengok sentimen, kaji cuaca, angka-angka dan perkara berkaitan.

“Kalau tanya saya perkiraan untuk memilih hanya dua sama ada pilihan untuk mendapatkan kemenangan atau untuk mendapatkan kemenangan lebih besar daripada apa yang dijangkakan,” katanya beliau yakin Umno/BN akan menang dalam pilihan raya akan datang.

Beliau yang berucap di depan kira-kira 500 perwakilan Umno Bahagian Puchong sebelum itu berkata, tidak perlu risau mengenai cerita kekalahan lalu.

Katanya, perasaan gundah-gulana, bimbang, takut dan gentar yang dirasakan akibat cerita kekalahan lalu sudah reda, kini keadaan sudah kembali tenang.

“Kekalahan  Umno sebelum ini perlu dijadikan yang terakhir dan tidak boleh dibiarkan berulang hanya kerana perpecahan sesama ahli, sibuk berebut menjadi calon dan isu remeh-temeh.

“Kita mesti bersatu, kuat dan bermuafakat untuk kembalikan maruah yang hilang dulu, saya percaya Umno Puchong dapat memberikan satu kerusi kepada Umno dan BN.

“Umno mesti rampas kembali kerusi yang kalah dalam pilihan raya lalu demi  maruah perjuangan dan percayalah kerusi itu terlepas sebelum ini bukan kerana  pembangkang kuat,” katanya.

 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.