SHAH ALAM - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegaskan beliau bukan anti Melayu dan Islam seperti didakwa oleh pemimpin Umno selama ini.

Katanya, untuk menjadi rakyat Malaysia, setiap individu perlu menolak perkara tersebut.

“Kami mahu semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama menganggap diri mereka sebagai rakyat negara ini manakala kedudukan mereka, agama atau kedudukan sosio-ekonomi di tempat kedua.

“Sekiranya saya anti Melayu atau anti Islam, selama lima dekad pemimpin Umno mencari kesalahan saya itu tetapi tidak menemuinya sedangkan ia bukanlah satu perkara yang sukar.

"Ini adalah bukti kukuh mengenai kesahihan tuduhan tersebut,” katanya pada dialog politik Pakatan Harapan di Derga, Kedah.

Beliau turut menyindir Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mengumumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai musuh orang Melayu kerana berusaha keras merosakkan parti itu.

“Saya bantah ketidakadilan ini kerana telah melepaskan saya dari kedudukan sebagai musuh utama orang Melayu kepada Mahathir.

“Selama lima dekad saya dituduh sebagai musuh utama orang Melayu. Bagaimana pula mereka boleh tukar kedudukan saya ini tanpa sebarang perundingan dan menyerahkan kepada Mahathir,” sindirnya.

Menurutnya, beliau bukan sahaja dituduh sebagai anti Melayu dan Islam oleh penyokong Umno, malah turut didakwa sebagai individu yang menjual hak dan kepentingan agama Cina dan bukan Islam.

Kit Siang mempersoalkan tuduhan yang dibuat ke atas Mahathir sebagai anti Melayu sedangkan beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Bayangkan Malaysia mempunyai perdana menteri anti Melayu selama 22 tahun. Ini menunjukkan pendekatan kepimpinan politik dan pemikiran dalam Umno sekarang,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Ketua Parlimen DAP berang apabila program Pakatan Harapan (Harapan) yang sepatutnya berlangsung di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, tidak diadakan kerana diganggu pihak tertentu.
  • IPOH - Pembangkang mendesak agar badan pemerhati asing dijemput memantau perjalanan PRU14 bagi memberi keyakinan kepada rakyat terhadap integriti pilihan raya yang bakal dijalankan.
  • SHAH ALAM - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang pro-BN hari ini menyeru kepada mana-mana pihak yang pernah menjadi kawan kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika di sekolah rendah supaya tampil dan menjelaskan beberapa perkara kepada orang ramai.
  • SHAH ALAM - “Tidak terlintas dalam fikiran saya selama ini untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia!,” tegas Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
  • KLUANG - Hasrat Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang untuk menjadi perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi PRU14 hanya membawa kehancuran kepada kaum dan negara.