KUALA TERENGGANU – Penasihat DAP, Lim Kit Siang lebih selesa berkhidmat kepada rakyat berbanding memegang jawatan.

Kit Siang menegaskan, tujuannya kekal dalam dunia politik bukan kerana jawatan atau kedudukan, sebaliknya merasakan ia adalah platform untuk berkhidmat kepada negara dan juga rakyat yang disifatkan lebih penting bagi dirinya.

“Apa yang saya mahu tegaskan di sini, kita dalam politik bukan untuk jawatan, bukan untuk kedudukan, kita dalam politik kerana inilah satu cara berkhidmat kepada negara dan rakyat. Itu yang penting dan lain-lain kita tunggu dan lihat bagaimana.

“DAP dan Pakatan Harapan (Harapan), kita dah berbincang, terpulang kepada DAP dan pucuk pimpinan Harapan.

"Apa yang mustahak, kita berjaya dan harapan rakyat boleh ditunaikan, ini lebih penting," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Pusat Perkhidmatan DAP Terengganu, di sini.

Hadir sama, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing.

Sebelum ini, nama Kit Siang dicadang untuk jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat oleh parti DAP sendiri selepas mesyuarat jawatankuasa DAP.

Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, nama-nama calon untuk jawatan Speaker Dewan Rakyat telah disenarai pendek dan akan diputuskan barisan pimpinan tertinggi PH dalam tempoh terdekat sebelum sesi Parlimen bersidang,16 Julai ini.

Katanya, setiap parti komponen telah mencadangkan nama calon masing-masing dan ia sedang dibincangkan dengan teliti sertaakan menjalani proses undian sebelum diputuskan.

Saifuddin juga berkata, mereka yang terpilih nanti perlu meletakkan jawatan dalam parti untuk memastikan mereka dapat melaksanakan jawatan yang telah diamanahkan itu dengan lebih telus.